Bapa maut, anak cedera nahas tiga kenderaan

Iklan
Lori merempuh sebuah MPV dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Labuk, Batu 9, Sandakan.

SANDAKAN - Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Labuk, Batu 9, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, Ranchanna Hujang, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDOC) manakala anaknya yang berusia 17 tahun patah bahagian bahu kiri.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori, Proton Iriz dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.

"Dalam kejadian tersebut, lori yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Batu 8 menuju ke Batu 32 dipercayai gagal memberhentikan kenderaannya ketika menghampiri bulatan lalu merempuh bahagian belakang Proton Iriz.

Iklan

"Lori tersebut kemudian masuk ke laluan kanan dan melanggar sebuah kenderaan lain iaitu MPV yang berada di bulatan sehingga menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan sebelum salah seorangnya disahkan maut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Salah sebuah kenderaan yang dilanggar lori dalam kemalangan di Jalan Labuk, Batu 9, Sandakan.

Iklan

Katanya lagi, pemandu lori dan pemandu Proton Iriz tidak mengalami kecederaan namun dua penumpangnya cedera ringan.

"Semua mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke unit forensik untuk dibedah siasat yang dijadualkan esok.

"Selain itu, pemandu lori turut ditahan dan akan direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.