Tiga kanak-kanak disyaki diberi minum methadone: Ibu bapa ditahan untuk siasatan

Iklan
Shazeli Kahar

KAJANG - Ibu bapa kepada tiga kanak-kanak dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone sehingga mengakibatkan seorang daripada anaknya maut ditahan polis untuk siasatan lanjut pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan dibuat melibatkan pasangan suami isteri berusia lingkungan 35 dan 44 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum itu pihaknya menerima maklumat daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin pada kira-kira jam 9.01 pagi mengenai tiga kanak-kanak lelaki warga tempatan yang dibawa ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati seorang kanak-kanak lelaki berumur kira-kira 11 tahun disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Iklan

"Dua lagi mangsa masing-masing berumur kira-kira 10 tahun dan lima tahun kini menerima rawatan di ICU," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Iklan

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Razlan Arif di talian 016-4730452 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89258222," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun maut manakala dua lagi adiknya berusia sembilan dan lima tahun kini dirawat di ICU setelah dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone di sebuah rumah di Sungai Ramal.

Kejadian itu dipercayai terbongkar selepas ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan, polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.01 pagi hasil laporan pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin.

Pihak hospital sebelum itu menerima tiga pesakit kanak-kanak lelaki pada jam 7.50 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia dan seorang adiknya berusia lima tahun kini ditempatkan di ICU manakala seorang lagi menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan.