RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan pemerdagangan manusia selepas menahan sebuah bas membawa 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sekat Pintas Serongga di sini pada Rabu.
Dalam serbuan kira-kira jam 6.30 pagi itu, pemandu bas berusia 37 tahun ditahan bersama 34 lelaki dan dua wanita warganegara Myanmar.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati hanya empat individu memiliki pasport tetapi tiada cop masuk yang sah.
"Seorang lagi menggunakan pasport tamat tempoh manakala selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
"Kesemua PATI terbabit berusia lingkungan 20-an hingga 40-an dan difahamkan mereka diambil dari sebuah kilang di Meru, Klang sebelum dibawa ke sebuah kilang beras di Rantau Panjang untuk tujuan pekerjaan," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, bagaimanapun siasatan mendapati kilang beras berkenaan tidak wujud.
Ujarnya, perkhidmatan bas tersebut dibayar sebanyak RM2,300 oleh majikan melalui transaksi tanpa tunai.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
"Pemandu bas ditahan di bawah Seksyen 26(J) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala semua PATI ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.