RUU Pekerja Gig: Jangan terkubur sebelum lahir

Iklan
Indonesia dan Filipina sudah selangkah di hadapan dengan memperkenalkan undang-undang melindungi pekerja gig.

RAKYAT Malaysia khususnya pekerja gig pasti tidak sanggup menerima satu senario iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig masih belum dapat direalisasikan.

Kita bercakap tentang kira-kira 1.12 juta rakyat Malaysia yang bergantung kepada ekonomi gig untuk menyara hidup, tetapi tanpa undang-undang khusus, mereka kekal terdedah kepada segala risiko.

Iklan
Iklan

Statistik terkini juga menunjukkan hanya sekitar 320,000 mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Ini bermakna hampir 800,000 orang bekerja setiap hari tanpa perlindungan sekiranya ditimpa kemalangan.

Jika senario kegagalan ini berlaku, ia akan menjadi satu kegagalan dasar yang sukar dimaafkan.

Iklan

Negara jiran seperti Indonesia dan Filipina sudah selangkah di hadapan dengan memperkenalkan undang-undang melindungi pekerja gig. Malaysia pula masih terperangkap dalam kitaran penangguhan iaitu pada Disember 2024, Mac 2025 dan kini berada di ambang satu lagi kelewatan yang mengecewakan banyak pihak.

Kita sedar bahawa merangka undang-undang ini bukan perkara mudah. Ada isu tentang kadar sumbangan yang patut ditanggung, cabaran menguatkuasakan peraturan ke atas syarikat digital antarabangsa, dan kebimbangan daripada pihak industri.

Iklan

Namun, semua itu adalah cabaran yang boleh diatasi jika wujud kemahuan politik yang sebenar dan setiap penangguhan bermakna ratusan ribu rakyat akan terus hidup dalam ketidakpastian.

Lebih buruk, ia menghantar mesej bahawa tenaga kerja ini, yang menjadi nadi pergerakan ekonomi digital dan logistik negara, tidak cukup penting untuk dilindungi.

Kita masih ingat ketika pandemik melanda, para pekerja gig inilah yang memastikan makanan sampai ke rumah, ubat dihantar ke pintu, dan barangan asas tiba tanpa gangguan.

Mereka bekerja di jalanan ketika ramai daripada kita selamat di rumah. Jika ketika itu mereka diperlukan, mengapa kini mereka dilayan seolah-olah hanya angka dalam statistik?

Gambaran RUU ini gagal diluluskan bukan sekadar mimpi buruk, ia adalah tamparan kepada semangat solidariti kita sebagai sebuah negara.

Jika itu berlaku, sejarah akan mencatat bahawa ketika peluang untuk melindungi mereka terbuka luas, kita memilih untuk menutup pintu.

RUU Pekerja Gig kali ini dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada sesi persidangan Ogos 2025.

Bacaan kali kedua ini adalah detik penentuan, sama ada ia diluluskan atau sekali lagi ditunda atas alasan teknikal dan bantahan pihak berkepentingan.

Menurut jadual Parlimen, selepas bacaan kedua, ia akan melalui peringkat jawatankuasa sebelum dibawa ke bacaan kali ketiga untuk kelulusan muktamad.

Jika kerajaan benar-benar serius mahu melindungi pekerja gig, inilah masanya untuk membuktikannya di dewan yang mulia itu. Tiada lagi ruang untuk bermain tarik tali.

Setiap pindaan yang perlu boleh dibincangkan, tetapi rangka asas perlindungan mesti kekal utuh dan kerajaan mesti meluluskan RUU ini tanpa lengah.

Setiap hari kelewatan adalah satu hari di mana pekerja gig terus berada di jalan tanpa perlindungan. Kita tidak boleh lagi hidup dengan alasan ‘belum bersedia’. Masa sudah cukup panjang diberikan.

RUU Pekerja Gig bukan sekadar kertas undang-undang. Ia adalah pengiktirafan bahawa setiap titik peluh rakyat ada nilainya, walau mereka tidak berseragam, tidak bergaji tetap, dan tidak duduk di pejabat berhawa dingin.

Undang-undang ini adalah simbol kematangan negara dalam mengiktiraf kepelbagaian bentuk pekerjaan moden dan memastikan tiada seorang pun tercicir daripada perlindungan asas.

Kita tidak mampu membiarkan senario kegagalan ini menjadi kenyataan, dan jika ia berlaku, seluruh rakyat Malaysia akan menanggung malu kerana membiarkannya berlaku, ketika kita sebenarnya mampu mengubahnya dengan satu keputusan berani di Parlimen.

* Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian Biro Selangor/ Kuala Lumpur