JOHOR BAHRU – Setiap kali terdengar perkataan ‘asrama’, kenangan pahit zaman persekolahan kembali menghantui seorang wanita yang pernah melalui pengalaman dibuli.
Ain (bukan nama sebenar), 36, mengakui peristiwa berkenaan masih segar dalam ingatannya meskipun sudah berlalu lebih 20 tahun lalu.
“Waktu itu saya sangat takut kerana tidak pernah berpisah jauh dengan ibu, ayah dan adik-beradik. Tetapi saya terpaksa masuk asrama atas permintaan ibu dan ayah memandangkan keluarga agak susah serta masih mempunyai tiga adik yang masih bersekolah.
“Saya akur untuk tinggal di asrama dan berjauhan dengan keluarga yang tinggal di kawasan luar bandar. Langkah pertama saya bermula ketika sesi pendaftaran dan disambut baik oleh pelajar-pelajar lain ketika minggu orientasi,” ujarnya.
Kata Ain, segalanya berubah hanya kerana dia tidak menegur seorang pelajar senior ketika berselisih di kawasan asrama.
“Selepas itu, saya sering menjadi sasaran. Berulang kali cadar katil saya ditarik walaupun sudah dikemaskan berkali-kali.
“Pernah juga saya diperli kerana dianggap tidak menghormati mereka. Kata-kata yang dilemparkan cukup tajam, seolah-olah saya tidak diajar oleh ibu dan ayah untuk menghormati orang lebih tua. Saya cukup sedih dan menangis setiap malam,” katanya kepada Sinar Harian.
Ain memberitahu, dia cuba mengawal diri walaupun sering berdebar setiap kali berhadapan dengan pelajar senior.
Dalam tempoh hampir setahun, Ain berubah menjadi pendiam dan sukar tidur pada waktu malam.
“Sampai sekarang saya masih rasa berdebar jika masuk ke kawasan asrama sekolah walaupun sekadar melawat anak saudara.
“Namun saya bersyukur kerana pengalaman pahit itu menjadikan saya lebih tabah dan berhati-hati dalam pergaulan. Tidak semua orang memahami betapa seriusnya kesan buli terhadap perkembangan emosi seseorang.
“Bagi pembuli, mungkin mereka fikir ia hanya gurauan atau adat asrama, tetapi hakikatnya ia mencalarkan keyakinan diri dan merosakkan masa depan mangsa,” tegasnya.