KUALA NERUS – Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak, di sini menjadi lokasi perdana program Malaysia #QuranHour 2025 di Terengganu yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini.
Program sempena sambutan kemerdekaan itu akan diadakan serentak di seluruh negara dengan siaran langsung dari Masjid Negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.
Bertemakan ‘Merdeka Dengan Rasa’, sesi tadabbur kali ini akan menelusuri tiga surah utama iaitu Surah al-Saff, al-Balad dan Ali Imran.
Pengarah Pusat Islam UniSZA, Mohd Sayuti Yahya berkata, penganjuran tahun ketiga di masjid itu merupakan kesinambungan usaha menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam pembangunan organisasi serta pengukuhan syiar Islam di kampus dan masyarakat.
Menurutnya, Pusat Islam UniSZA berperanan sebagai penganjur bersama, manakala Rumah Ngaji Terengganu bertindak sebagai penganjur utama acara berkenaan.
“Kita menyediakan kemudahan masjid, mengurus atur cara program serta menggerakkan warga UniSZA dan komuniti setempat untuk turut serta dalam program ini.
“Dengan promosi dan kerjasama strategik, kami menjangkakan kehadiran ratusan peserta melibatkan staf, pelajar serta masyarakat sekitar.
“Ini kali ketiga Masjid UniSZA menjadi tuan rumah selepas tahun 2023, dan kami yakin impaknya kali ini lebih besar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.
Jelas beliau, sebelum ini pelbagai inisiatif berteraskan al-Quran telah dilaksanakan, antaranya Akademi Qurra’ dan Profesional Huffaz Leader.
“Bermula tahun 2026, usaha ini diperluas melalui Program Thalatna Tla (3 hingga 9 tahun) yang memberi peluang kanak-kanak seawal usia tiga tahun menghafaz al-Quran.
“Matlamat utama kami ialah mengajak masyarakat kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, bukan sekadar dibaca tetapi difahami, dihayati dan diamalkan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam UniSZA, Mohd Ishaq Md Nasir berkata, penganjuran Malaysia #QuranHour di masjid itu bertujuan menarik penyertaan masyarakat luar selain warga kampus.
“Kita mahu mengajak masyarakat bukan sekadar membaca al-Quran, tetapi mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Insya-ALLAH, program ini juga dapat disertai melalui platform media sosial yang menyiarkan acara ini secara langsung,” katanya.
Malaysia #QuranHour 2025 yang kini memasuki edisi ke-11 terus menjadi wadah penyatuan umat Islam dalam menyuburkan kecintaan terhadap al-Quran seterusnya membentuk masyarakat berjiwa merdeka.