PUTRAJAYA – Fokus siasatan terhadap sektor berisiko tinggi termasuk pertahanan, kesihatan, pendidikan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi antara teras kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan United Kingdom (UK) dalam memperkukuh usaha membanteras rasuah.
Pendekatan itu dilihat selari dengan keperluan semasa membabitkan pengurusan dana awam berskala besar yang memerlukan penelitian sistem operasi, model perolehan serta struktur pentadbiran sebelum sesuatu siasatan dilaksanakan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penguatkuasaan yang bebas, telus dan profesional akan terus menjadi keutamaan agensi itu selaras prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, fokus terhadap sektor tertentu sejak kebelakangan ini dibuat berdasarkan kefahaman menyeluruh terhadap sistem sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.
"SPRM menekankan kepentingan kefahaman mendalam terhadap sistem dan prosedur melibatkan sektor pertahanan, pendidikan, kesihatan serta syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat milik kerajaan negeri yang mengurus peruntukan awam berskala besar.
"Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap siasatan dijalankan secara objektif, berfakta dan berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma bersama delegasinya di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.
Azam berkata, siasatan sektor pertahanan khususnya berkaitan perolehan memerlukan penelitian rapi kerana melibatkan struktur dan mekanisme operasi yang kompleks.
Menurutnya, pemahaman terhadap model operasi sektor berkenaan menjadi faktor penting bagi memastikan siasatan dijalankan secara tepat tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan kepentingan strategik negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penggunaan teknologi, sistem digital dan analitik data kini menjadi antara komponen penting dalam meningkatkan keberkesanan siasatan.
"Penggunaan teknologi bukan sahaja membantu meningkatkan ketepatan siasatan, malah mengoptimumkan pengurusan sumber manusia secara lebih cekap dan mampan,” katanya.
Mengulas kerjasama antarabangsa, Azam berkata, hubungan sedia ada antara SPRM dan pihak berkuasa UK telah banyak membantu dalam aspek perkongsian maklumat, bantuan siasatan serta pembangunan kapasiti pegawai.
Katanya, kerjasama itu juga membuka ruang kepada latihan kepakaran serta penyertaan dalam forum antarabangsa berkaitan pencegahan rasuah.
Sementara itu, Ajay Sharma berkata, Suruhanjaya Tinggi British komited untuk terus menyokong usaha SPRM melalui kerjasama dua hala yang lebih praktikal dan berterusan.
Menurutnya, pihaknya bersedia menjadi penghubung kepada agensi berkaitan di UK dalam bidang siasatan, latihan serta perkongsian kepakaran.
Beliau berkata, hubungan erat Malaysia dan UK yang terjalin sejak sekian lama perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh amalan tadbir urus baik.
Turut hadir, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Datuk Rasidah Abdul Karim serta Kaunselor Politik dan Ekonomi Suruhanjaya Tinggi British, Rebecca Cater.
End.....