SHAH ALAM – Majlis Daerah Besut (MDB) mengambil inisiatif melaksanakan program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bersempena Program Sukarelawan@Pulau Perhentian yang bakal berlangsung pada 1 hingga 3 September ini.
Yang Dipertua MDB, Mohamad Ridwan Mohd Nor berkata, objektif utama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selama tiga hari bersama komuniti tempatan bertujuan membina semangat perpaduan, gotong-royong dan kerjasama antara kerajaan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat.
Beliau berkata, menerusi Program Dive Against Debris (DAD) dan Beach Clean Up, pihaknya berharap program inisiatif MDB ini dapat menanam kesedaran dan mendidik masyarakat menyokong usaha kerajaan menjaga alam sekitar, khususnya di pulau berkenaan.
“Kami menjangkakan hampir satu tan sampah dikutip hasil penyertaan 150 penyelam dan 500 sukarelawan darat dalam tempoh satu jam 30 minit.
“Berdasarkan pengalaman lalu, seramai 39 penyelam berjaya mengutip kira-kira 100 kilogram (kg) sampah dasar laut.
"Dengan jumlah peserta lebih ramai kali ini, kami yakin kutipan berlipat ganda,” katanya kepada Sinar Ahad ketika mengunjungi Kompleks Karangkraf di sini pada Sabtu.
Hadir sama Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Menurut Mohamad Ridwan, penganjuran kali ini juga selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Matlamat ke-13 untuk mengambil tindakan segera memerangi perubahan iklim dan kesannya serta Matlamat ke-14 iaitu melindungi dan memastikan penggunaan lautan secara mampan.
Katanya, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan antaranya persembahan dikir barat, tarian budaya, persembahan penyanyi legenda, Aris Ariwatan dan jamuan rakyat bekwoh gulai kawah kepada kira-kira 1,500 penduduk tempatan dan luar daerah.
“Selain pembersihan pantai dan laut, program lain turut dianjurkan antaranya baik pulih pagar Masjid Pulau Perhentian, gotong-royong membersihkan perkuburan dan pendidikan kesedaran alam sekitar kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian,” ujarnya.
Katanya, edisi kali ini adalah program terbesar tahun 2025 dengan sokongan kerajaan negeri serta penyertaan pelbagai pihak termasuk 25 agensi kerajaan, 44 badan korporat, lima NGO dan komuniti tempatan.
“Antara agensi, badan korporat dan NGO terlibat termasuklah Alam Flora Sdn Bhd, Karangkraf, Sinar Harian, Kelab Kesuma, Padi Aware Foundation, Black Eye Scuba Team, Fuze Ecoteer, Geng Plastik Ija dan Persatuan Penyelam Malaysia.
“Majlis perasmian bakal disempurnakan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Ridwan berkata, pihaknya turut mengetengahkan tagline 'Besut: From Rainforest to the Reef' dengan akronim BESUT iaitu Best Ecosystem with Scenic Universal Treasure bagi memperkukuh identiti daerah berkenaan.
Beliau berharap, usaha itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan alam sekitar sejak peringkat awal, malah menjadi pemangkin sektor pelancongan dan ekopelancongan di Besut.
Justeru, katanya, agensi, badan korporat serta NGO yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Kelab Kesuma atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi Facebook rasmi MDB.