HULU TERENGGANU - Tindakan pantas tiga kakitangan Tabung Haji (TH) berjaya menyelamatkan seorang warga emas berusia 71 tahun daripada mengalami kerugian RM250,000 selepas disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan melalui panggilan telefon.
Ketiga-tiga kakitangan terbabit ialah polis bantuan TH, Mohd Faaiz Mat, 36; kakitangan kaunter, Normaiziah Abdul Rahman, 49; serta Pengurus Cawangan TH Kuala Berang, Mohd Rusyhidi Che Mohd Rawawi, 37.
Mohd Rusyhidi berkata, kejadian berlaku pada 7 Disember lalu antara jam 1 hingga 2 petang apabila mangsa hadir ke kaunter TH Cawangan Kuala Berang untuk membuat pemindahan wang simpanan berjumlah RM250,000 ke akaun bank miliknya.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka menyedari keganjilan apabila mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak tenang dan menggigil, sekali gus menimbulkan rasa curiga.
“Melihat tingkah laku mangsa yang mencurigakan, kami mengajukan beberapa soalan berkaitan tujuan pemindahan wang tersebut.
“Hasil penjelasan mangsa, kami mendapati transaksi itu dilakukan atas arahan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu, pihaknya bertindak segera dengan menyekat akaun mangsa buat sementara waktu serta memaklumkan bahawa mangsa sedang diperdaya oleh sindiket penipuan.
“Tindakan pantas itu berjaya menghalang mangsa daripada mengalami kerugian besar sebanyak RM250,000 dan pada ketika itu mangsa hampir berjaya diperdaya,” katanya.
Ketiga-tiga kakitangan TH berkenaan menerima surat penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini, Selasa lalu.
Mohd Rusyhidi berkata, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku, namun sebelum ini melibatkan jumlah wang yang tidak begitu besar.
“Kami sentiasa diingatkan pihak pengurusan supaya lebih peka terhadap pendeposit yang ingin mengeluarkan wang dalam keadaan mencurigakan.
“Tujuan kami hanya untuk menyelamatkan mereka daripada terperangkap dengan tipu daya pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menyampaikan Surat Penghargaan Ketua Polis Terengganu kepada kakitangan TH Cawangan Kuala Berang sebagai pengiktirafan terhadap kepekaan mereka.
“Tindakan pihak TH yang berjaya mengesan dan menggagalkan transaksi mencurigakan sekali gus menyelamatkan pelanggan daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
“PDRM amat menghargai peranan dan kerjasama pihak TH dalam membantu orang ramai agar tidak terjerumus dengan sindiket penipuan,” katanya.