Awie 'Wira Kuala Besut' sudah tiada

Iklan
Gambar kenangan Allahyarham Awie yang dikongsikan ahli keluarganya di media sosial pada Isnin.

BESUT – Pemuda yang dikenali sebagai 'Wira Kuala Besut' kerana keberaniannya membantu mencari mangsa lemas di dasar sungai berhampiran jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut enam tahun lalu, meninggal dunia pada Isnin.

Allahyarham Mohamad Najmi Daud, 37, atau lebih dikenali sebagai Awie menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada awal pagi akibat strok.

Iklan
Iklan

Difahamkan, Awie diserang strok kali ketiga pada malam Ahad sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan dan kemudiannya dipindahkan ke HSNZ kira-kira jam 1.50 pagi.

Pemuda berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.55 pagi akibat pendarahan di kepala serta ketumbuhan di otak.

Iklan

Ibu Allahyarham, Noriah Ali, 59, berkata, selepas diserang strok kali kedua, anak kedua daripada lima beradik itu kerap terjatuh dan menunjukkan perubahan ketara dari segi kesihatan.

"Sejak beberapa hari lalu, dia banyak mendiamkan diri dan kelihatan letih. Bila ditanya, dia hanya tersenyum," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Iklan

Noriah berkata, walaupun masih terkejut dan bersedih, beliau pasrah dengan ketentuan Ilahi.

"Saya bersyukur sebab urusan membawa pulang jenazah berjalan lancar dan Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut selepas Zohor," ujarnya.

Awie pernah mendapat perhatian ramai apabila keberaniannya membantu mencari mangsa lemas di dasar sungai pada tahun 2020 menyebabkan dia digelar sebagai 'budak ajaib' oleh penduduk setempat.

Sebelum itu, Allahyarham kali pertama terlibat membantu mencari mangsa lemas membabitkan seorang kanak-kanak pada tahun 1998, diikuti satu lagi kes mangsa lelaki dua tahun kemudian.

Selain misi menyelamat, Awie juga sering membantu orang ramai termasuk pelancong mencari barang berharga yang terjatuh ke dalam sungai seperti telefon bimbit, barang kemas dan kunci kenderaan di sekitar jeti pelancong Kuala Besut.