Gelombang JusticeForZara takkan tercetus jika polis ikut SOP – Peguam

Iklan
Gelombang JusticeForZara yang menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, tidak akan tercetus sekiranya pegawai polis terlibat mengambil langkah sewajarnya mengikut prosedur undang-undang. Foto Bernama

KOTA KINABALU - Gelombang JusticeForZara yang menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, tidak akan tercetus sekiranya pegawai polis terlibat mengambil langkah sewajarnya mengikut prosedur undang-undang.

Pasukan peguam yang mewakili ibu Allahyarhamah, Noraidah Lamat, 45, merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay pada Jumaat bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST).

Iklan
Iklan

“Kertas siasatan itu membabitkan Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor yang disyaki melakukan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir iaitu anak kepada klien kami, Noraidah Lamat.

“Kami menyokong siasatan tersebut. Gelombang JusticeForZara di seluruh Malaysia yang menuntut keadilan bagi Zara tidak akan berlaku jika langkah yang sepatutnya diambil oleh pegawai penyiasat mengikut prosedur undang-undang bagi kes kematian yang melibatkan keadaan meragukan setelah mendapat maklumat tentang kematian Zara pada 17 Julai 2025,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Iklan

Pasukan peguam berkenaan turut memohon agar tindakan tegas diambil terhadap pegawai polis terbabit sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP.

“Kami berharap gelombang JusticeForZara menjadi peringatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memastikan semua kes kematian yang melibatkan keadaan meragukan disiasat mengikut SOP siasatan dengan efektif dan telus bermula dari tarikh penerimaan laporan maklumat pertama.

Iklan

“Dalam pada masa yang sama, kami masih menunggu tarikh permohonan inkues diadakan daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh pasukan peguam yang terdiri daripada Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.