SEREMBAN - Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 254.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada Rabu.
Dalam kejadian jam 12.30 malam itu, penunggang motosikal berusia 23 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala pembonceng berusia 24 tahun meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 12.30 malam.
"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa yang menaiki sebuah motosikal jenis AX200S sedang bergerak dari arah Seremban menuju ke Melaka.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang di lorong kiri telah hilang kawalan dan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kanan lori rigid jenis Hino membawa muatan barangan plastik yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah kerosakan enjin," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Tambahnya, pembonceng motosikal pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah HTJ.
"Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat.
"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-6032222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,"katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.