KOTA BHARU – Operasi merobohkan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok kini memasuki fasa akhir apabila daerah Tumpat dikenal pasti sebagai lokasi berikutnya selepas Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, baki di Tumpat dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh seminggu.
"Kita akan teruskan sehingga ‘sehelai habis’, tiada lagi pangkalan haram yang wujud di kawasan sempadan.
"Sebanyak 223 pangkalan haram dikenal pasti di negeri ini, melibatkan 216 di atas tanah kerajaan dan tujuh di tanah persendirian.
"Sebanyak 96 daripadanya berstruktur kekal manakala 120 tidak berstruktur," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Mohd Yusoff berkata, sebanyak 62 pangkalan haram telah berjaya dirobohkan setakat Selasa, manakala selebihnya kini tertumpu sepenuhnya di Tumpat.
Ujarnya, perobohan kini diteruskan secara berperingkat, bermula di tanah kerajaan terlebih dahulu.
Tambah beliau, operasi bersepadu itu diperkukuh dengan penggunaan jentera melalui laluan air bagi memudahkan perobohan struktur yang berada di kawasan sukar diakses.
Mohd Yusoff turut menegaskan, setakat ini tiada maklumat mengenai pembinaan semula pangkalan haram yang telah dirobohkan, namun pemantauan berterusan akan dilakukan.
"Dengan kerjasama semua agensi penguat kuasa, Alhamdulillah operasi berjalan lancar.
"Kita sentiasa pantau dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan membina semula pangkalan haram," katanya.