Wajarkah sekolah menengah setakat umur 16 tahun?

Iklan
Sekolah menengah setakat umur 16 tahun boleh dilaksanakan kerana ia pembaharuan sistem pendidikan.

SISTEM pendidikan merupakan tulang belakang dalam pembentukan jati diri, kemahiran dan masa depan generasi muda.

Oleh itu, setiap perubahan atau pembaharuan dalam sistem ini wajar diperhalusi dari pelbagai sudut agar tidak mendatangkan kesan negatif kepada pelajar dan masyarakat secara keseluruhan.

Iklan
Iklan

Dalam hal ini, cadangan untuk mengehadkan tempoh sekolah menengah kepada umur 16 tahun telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Sebahagian masyarakat menyokong cadangan ini kerana percaya tidak semua pelajar sesuai dengan sistem akademik panjang dan ada lebih cemerlang dalam bidang praktikal.

Iklan

Namun begitu, ada juga pihak membantah cadangan ini atas alasan usia 16 tahun masih terlalu muda dan belum cukup matang untuk menghadapi dunia luar.

Mereka risau jika pelajar ditamatkan persekolahan terlalu awal, ramai hilang arah tujuan, terdedah gejala sosial atau terpaksa bekerja dalam sektor tidak menjamin masa depan.

Iklan

Justeru, timbul persoalan sama ada wajar atau tidak sekolah menengah dihadkan setakat umur 16 tahun atau sistem sedia ada masih relevan untuk diteruskan?

 

SOKONG

Peluang ceburi dunia luar lebih awal

Kemahiran komunikasi perkara teras diperlukan dalam kehidupan seharian, terutama dalam alam pekerjaan dan sosial.

Jika pelajar menamatkan pengajian di peringkat menengah pada usia 16 tahun, mereka berpeluang menceburi dunia luar lebih awal sama ada melalui latihan vokasional, program sukarelawan, mahupun pekerjaan sambilan.

Melalui platform-platform ini, pelajar akan didedahkan kepada situasi komunikasi lebih mencabar dan realistik berbanding persekitaran sekolah yang lebih terkawal.

Tambahan pula, pendedahan awal ini membuka peluang kepada remaja untuk mempelajari cara menyesuaikan gaya komunikasi mengikut situasi berbeza.

Kemahiran komunikasi bukan sesuatu yang boleh diajar di dalam kelas semata-mata tetapi perlu digilap melalui pengalaman dan pendedahan dunia sebenar.

Pelajar perlu ditempatkan dalam situasi sebenar agar mereka dapat membina kekuatan dalam menyampaikan idea secara terbuka dan meyakinkan.

Mohamad Hisyamuddin Ayub

Mengehadkan sekolah menengah sehingga umur 16 tahun bukan bermakna menamatkan pendidikan tetapi membuka jalan baharu untuk pendidikan alternatif lebih praktikal.

- Mohamad Hisyamuddin Ayub, 46, Kakitangan swasta

Pembaharuan sistem pendidikan

Sekolah menengah setakat umur 16 tahun boleh dilaksanakan kerana ia pembaharuan sistem pendidikan.

Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu dilakukan dengan rapi agar memberi manfaat kepada pelajar dan negara dari segi pembangunan kemahiran, kebebasan memilih hala tuju hidup, penjimatan masa serta sumber.

Setelah tamat sekolah menengah, mereka boleh memilih sama ada mahu terus menyambung pelajaran di institusi kemahiran, kolej atau mula bekerja secara sambilan.

Langkah ini membolehkan mereka lebih cepat membina pengalaman dan kemahiran praktikal, berbanding terus berada dalam sistem akademik yang mungkin tidak sesuai dengan minat atau potensi sebenar mereka.

Selain itu, tidak semua pelajar sesuai pembelajaran secara teori dan akademik.

Ada dalam kalangan mereka cenderung pembelajaran kemahiran dan kerja tangan.

Muhammad Hakim Zailani

Tamat sekolah pada umur 16 tahun buka peluang pelajar sertai program latihan teknikal dan vokasional seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih relevan.

- Muhammad Hakim Zailani, 21, Kakitangan swasta

................

BANGKANG

Terlalu muda untuk tamat sesi persekolahan

Cadangan had umur sekolah menengah sehingga 16 tahun perlu diteliti lebih mendalam kerana pelbagai implikasi negatif boleh timbul sekiranya dilaksanakan secara terburu-buru.

Pertama sekali, umur 16 tahun masih terlalu muda untuk seseorang pelajar menamatkan pendidikan menengah memandangkan ketika ini ramai remaja masih dalam proses mengenal jati diri, belum matang secara emosi dan memerlukan bimbingan berterusan daripada guru serta ibu bapa.

Jika mereka tamat sekolah terlalu awal mampukah mereka berdikari kerana realitinya, pelajar tamat persekolahan pada umur 17 tahun seperti berlaku sekarang, masih ramai belum bersedia melangkah ke alam pekerjaan atau pendidikan tinggi.

Tambahan pula, sekiranya had umur tamat persekolahan diturunkan, kerajaan juga perlu mengubah dasar umur minimum kemasukan ke universiti atau institusi pengajian tinggi.

Ini bukan sahaja memerlukan rombakan sistem pendidikan secara menyeluruh, malah boleh menimbulkan cabaran besar kepada pelajar muda yang terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus lebih mencabar, tanpa persediaan dari segi mental dan sosial.

Azizul Nizam

Satu lagi isu membimbangkan ialah kurangnya pendedahan terhadap ilmu dan kemahiran yang mencukupi sekiranya pelajar menamatkan persekolahan lebih awal.

- Azizul Nizam, 45, Peniaga

Belum cukup matang secara mental dan emosi

Pada usia 16 tahun, pelajar belum cukup matang untuk menghadapi cabaran dunia luar memandangkan mereka masih berada di tahap peralihan yang memerlukan bimbingan dan pendidikan berterusan, bukan penamatan pembelajaran secara formal.

Contohnya, seusia itu sudah pasti belum mampu membuat keputusan besar dalam hidup seperti memilih kerjaya, mengurus kewangan atau menyesuaikan diri dalam persekitaran pekerjaan yang mencabar.

Jika tidak melanjutkan pelajaran dan terus masuk ke alam pekerjaan, mereka mungkin mengalami tekanan, kehilangan arah atau terjebak dalam perkara yang tidak menjamin masa depan.

Dalam usia muda, mereka sepatutnya berada dalam suasana bimbingan dan perlindungan, bukan terdedah kepada tekanan hidup orang dewasa.

Seri Syaziatie Mat Yatim

Selain itu, tamat sekolah awal bermakna peluang untuk mendalami ilmu pengetahuan akan berkurangan.

Pendidikan menengah atas memainkan peranan penting dalam mematangkan pemikiran pelajar serta menyediakan mereka dengan kemahiran asas sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

- Seri Syaziatie Mat Yatim, 33, Suri rumah