SPRM bincang dapatan kajian rasuah babitkan wanita

Iklan
Azam (tengah) selepas sesi pembentangan Laporan Kajian Mengenai Wanita dan Rasuah serta Pembinaan Modul Interaktif Penerapan Nilai-Nilai Murni Dalam Kalangan Kanak-Kanak Prasekolah di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggunakan Laporan Kajian Mengenai Wanita dan Rasuah serta Pembinaan Modul Interaktif Penerapan Nilai-Nilai Murni Dalam Kalangan Kanak-Kanak Prasekolah untuk merangka tindakan menyeluruh dalam menangani masalah rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua kajian yang dibentangkan itu memberi manfaat dan pengetahuan kepada pihaknya daripada segi tindakan khususnya kajian mengenai wanita yang menyebabkan mereka terlibat dalam tingkah laku rasuah.

Iklan
Iklan

“Justeru, SPRM akan mengkaji semula dapatan ini.

"Kita turut mencadangkan pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) melaksanakan penambahbaikan dapatan kajian membabitkan Pesalah Rasuah Wanita Mengikut Kategori (2018 – 2023), Jenis Kesalahan Dalam Kalangan Pesalah Rasuah Wanita serta beberapa lagi dapatan lain untuk dijadikan sebagai bahan rujukan bagi membantu SPRM merangka agenda pencegahan rasuah,” katanya ketika menghadiri sesi pembentangan tersebut yang diadakan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam majlis itu, sesi pertama pembentangan dilaksanakan secara maya oleh Penasihat Undang-Undang UUM, Dr Khadijah Mohamed yang turut menyambut baik hasrat SPRM untuk menambah baik dapatan kajian tersebut.

Dalam pada itu, tambah Azam, beliau menzahirkan komitmen dan menyambut baik pelaksanaan Pembinaan Modul Interaktif Penerapan Nilai-Nilai Murni Dalam Kalangan Kanak-Kanak Prasekolah yang dibentangkan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Professor Madya Dr Abdul Halim Masnan.

Iklan

Katanya, kajian itu memperlihatkan komitmen SPRM dan UPSI dalam menyampaikan nilai-nilai murni kepada kanak-kanak di prasekolah kerana ia menggabungkan pendekatan yang praktikal, interaktif dan menarik.

Malah, modul itu melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti untuk membina dan mengukuh nilai-nilai murni serta moral mereka seperti cadangan untuk penerbitan buku 'Harga Sebuah Kejujuran' membabitkan 1,000 sekolah rintis, Aplikasi Kapten MACC Power, permainan minda dan manual guru.

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail.