JEDDAH – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam rancangan Israel membina lebih 3,000 unit penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, sambil menggesa sekatan dikenakan terhadap rejim Zionis itu.
Dalam kenyataan pada Khamis, OIC menyifatkan projek berkenaan sebagai 'pelanggaran terang-terangan' terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
OIC menegaskan rancangan tersebut adalah 'jenayah sistematik' yang bertujuan mengubah status quo serta menggagalkan peluang penyelesaian dua negara.
Gesaan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, yang juga memegang jawatan penting di Kementerian Hal Ehwal Ketenteraan, mengenai kelulusan 3,401 unit penempatan di kawasan E1.
Projek itu akan membelah Tebing Barat kepada dua dan memutuskan hubungannya dengan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Palestin mahu Baitulmaqdis Timur dijadikan ibu negara bagi negara Palestin merdeka pada masa depan.
Smotrich secara terbuka menyatakan bahawa rancangan ini akan 'menguburkan idea penubuhan negara Palestin'.
Rancangan E1 itu dijangka mendapat kelulusan muktamad minggu depan, ketika semakin banyak negara mengumumkan hasrat mengiktiraf negara Palestin.
Liga Dunia Muslim turut mengecam tindakan Israel. Setiausaha Agungnya, Mohammad bin Abdulkarim al-Issa, menyifatkan dasar penempatan haram sebagai ancaman serius kepada kestabilan Asia Barat dan keamanan dunia.
Beliau menggesa komuniti antarabangsa menghentikan 'tragedi kemanusiaan' yang dialami rakyat Palestin dan mempertahankan hak sah mereka untuk menentukan nasib sendiri serta menubuhkan negara berdaulat.
Lebih 700,000 peneroka Israel kini menetap di lebih 230 penempatan haram yang dibina sejak pendudukan Israel ke atas Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur pada 1967.
Masyarakat antarabangsa menganggap penempatan itu menyalahi undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Geneva. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai 2024 turut memutuskan bahawa kehadiran Israel di Palestin adalah tidak sah.-Agensi