Sekolah di Taiwan wajibkan pelajar panjat dinding 15 meter untuk lulus

Iklan
Pelajar diwajibkan memanjat dinding setinggi 15 meter untuk lulus

TAIPEI – Sebuah sekolah di Taiwan mencuri perhatian ramai apabila mewajibkan para pelajarnya menawan dinding panjat setinggi 15 meter sebagai salah satu syarat kelulusan.

Menurut laporan yang dipetik daripada Oddity Central pada Khamis, sekolah berkenaan iaitu Sekolah Menengah Pertama Ershui di Changhua menetapkan bahawa semua pelajar perlu berjaya mencapai puncak dinding panjat sebelum sijil tamat persekolahan mereka ditandatangani.

Iklan
Iklan

Dinding yang menjulang setinggi lima tingkat bangunan itu dikatakan antara yang tertinggi dalam persekitaran sekolah di Taiwan dan digunakan secara konsisten dalam aktiviti pembelajaran.

Setiap minggu, pelajar mengikuti enam sesi kelas panjat tebing sebagai sebahagian daripada kurikulum rasmi sekolah.

Iklan

Pelajar bukan sahaja diajar teknik asas memanjat, malah diwajibkan menawan keseluruhan ketinggian 15 meter bagi memenuhi syarat kelulusan.

Polisi tersebut telah dilaksanakan selama bertahun-tahun dan kini menjadi identiti unik sekolah berkenaan.

Iklan

Pihak sekolah memaklumkan bahawa program itu bukan sekadar untuk membina kekuatan fizikal, tetapi turut membantu meningkatkan tahap tumpuan, keseimbangan, koordinasi serta ketahanan mental dalam kalangan pelajar.

Walaupun bagi kebanyakan orang dewasa ketinggian 15 meter mungkin kelihatan menggerunkan, bagi pelajar Sekolah Menengah Pertama Ershui, cabaran itu sudah menjadi rutin harian.

Malah, terdapat pelajar yang menyatakan mereka menikmati aktiviti tersebut dan terus berlatih bersama ibu bapa di luar waktu persekolahan.

Menerusi pendekatan pendidikan jasmani yang luar biasa itu, sekolah tersebut kini dikenali sebagai antara institusi pendidikan di Taiwan yang mengamalkan kaedah latihan fizikal paling unik.