IPOH - Seramai 546 individu termasuk 10 wanita diberkas dalam tempoh tiga hari menerusi Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang menyasarkan sarang penagih di seluruh negeri.
Operasi bermula 12 tengah malam, 11 Ogos hingga 12 tengah malam, 13 Ogos lalu itu melibatkan seramai 270 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama semua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), balai polis dan anggota dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan kali ini memberi tumpuan di lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagihan termasuk di skim Felda, Felcra, ladang swasta, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), flat, jeti nelayan dan kawasan lain.
Menurutnya, sebahagian besar individu yang ditahan merupakan warga tempatan dengan hanya 22 daripadanya warganegara asing berusia antara 19 hingga 65 tahun.
"Daripada jumlah tangkapan, 72 orang ditahan kerana mengedar dadah, 153 memiliki dadah, 317 disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala empat ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Lapan individu yang dikehendaki dan 16 penagih tegar juga berjaya ditahan yang akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM253,471 merangkumi 209.38 gram heroin, 214.68 gram syabu, 26.19 gram ganja, 255.54 gram ketamin, 283.61 gram pil Erimin 5, 39.49 gram pil ekstasi, 15.5 kilogram daun ketum dan 53.6 liter cecair ketum.
Katanya, turut disita dalam operasi tersebut ialah lima motosikal dan wang tunai berjumlah RM30,876.
"Kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan pihak penguat kuasa.
"Op Tapis diadakan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang menjadi masalah sosial serta kegusaran masyarakat," ujarnya.
Tambah Noor Hisam, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah bagi memastikan negeri ini bebas daripada jenayah tersebut.