PUTRAJAYA – Bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka akan direman pada Khamis berkaitan siasatan kes rasuah projek penambakan laut di sekitar Melaka.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan isterinya bagi membantu siasatan kes sama membabitkan nilai kira-kira RM3 juta.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 2 petang pada Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki yang bergelar Datuk Wira dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara Februari hingga November 2021.
"Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai konsesi bagi projek penambakan laut di sekitar Melaka.
"Pasangan suami isteri itu juga disyaki menggunakan wang hasil rasuah berkenaan untuk membeli sebuah unit kondominium di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan penahanan pasangan terbabit.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis bagi tujuan permohonan reman.