TAIPING – Tindakan licik sindiket menjadikan sebuah bengkel sebagai stor simpanan minyak diesel haram terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerusi Ops Tiris 2025 di Simpang di sini awal pagi Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan jam 1.20 pagi itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan selama seminggu terhadap kegiatan penyelewengan serta ketirisan barang kawalan di kawasan Taiping.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah membeli minyak diesel daripada bot nelayan dan pemandu lori tidak amanah yang mencuri stok milik majikan pada harga kira-kira RM2.15 seliter sebelum menjualnya kepada pihak industri di pasaran gelap sekitar RM2.45 seliter.
“Ketika pemeriksaan, kami menemui 36,000 liter cecair dipercayai minyak diesel yang disimpan dalam tangki simpanan IBC dan tangki simpanan mudah alih.
“Ketika serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori gagal mengemukakan sebarang kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kamalludin berkata, susulan serbuan itu pihaknya merampas 36,000 liter minyak diesel, dua lori, sebuah tangki simpanan mudah alih, 22 tangki simpanan IBC dan pam dengan nilai keseluruhan RM292,840.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala syarikat boleh didenda hingga RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Kamalludin menegaskan KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan akan terus mempergiat penguatkuasaan menerusi Inisiatif Kita Gempur.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan ke talian WhatsApp 019-848 8000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN.