JPJ sita empat kenderaan Singapura tawar khidmat e-hailing haram

Iklan
Aedy Fadly diberikan penerangan mengenai kenderaan asing yang disita kerana menjalankan kegiatan e-hailing di negara ini. Foto kanan: (Dari kir) Muhammad Kifli, Aedy Fadly dan Azmil Zainal bersama sebahagian kenderaan asing yang menjalankan aktiviti e-hailing di negara ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita empat kenderaan dari Singapura yang dikesan menjalankan perkhidmatan e-hailing secara haram dengan membawa pelancong di negara ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan yang ditahan tidak mempunyai lesen pengendali sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan tiada cukai jalan Malaysia.

Iklan
Iklan

“Operasi khas e-hailing ini kita laksanakan bermula 9 Ogos lalu hasil maklumat risikan berhubung aktiviti segelintir pemandu kenderaan asing yang mengambil penumpang tanpa permit sah.

“Antara kenderaan yang disita termasuk Toyota Alphard, Vellfire, Honda Spada dan Toyota Hiace yang dipandu warga Singapura bagi membawa pelancong.

Iklan

“Tindakan diambil di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(1) akta sama,” katanya.

Aedy Fadly berkata demikian pada sidang akhbar sempena Ops Khas E-hailing Kenderaan Asing di JPJ Johor, pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Negeri Johor, Azmil Zainal Adnan.

Tambah Aedy Fadly, hasil risikan mendapati perkhidmatan itu turut menawarkan tambang mencecah ratusan dolar Singapura, antaranya SGD180 (RM630) bagi bayaran ke Johor Bahru (JB) Sentral, SGD200 (RM700) ke Iskandar Puteri dan sehingga SGD1,200 (RM4,200) bagi perjalanan ke Ipoh.

Katanya, modus operandi pemandu terbabit termasuk menggunakan aplikasi Telegram serta pelekat khas bagi mengenal pasti penumpang yang telah membuat tempahan.

“Sebelum ini, kita lebih kepada advokasi dan memberi penerangan bahawa perbuatan ini salah.

“Tetapi, mulai minggu ini, tiada lagi kompromi. Kita akan tahan dan ambil tindakan tegas termasuk proses lucut hak kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, operasi tersebut akan dijalankan secara berterusan di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan pelancong di Johor termasuk Legoland dan Danga Bay sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Justeru, katanya, orang awam diingatkan supaya melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang membabitkan kenderaan asing melalui e-mel myjpj@jpj.gov.my dengan butiran yang lengkap.

“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya di negara ini. Perkhidmatan e-hailing sah wujud di Malaysia, maka kenderaan dari luar negara perlu berurusan dengan pihak berkuasa sebelum dibenarkan beroperasi.

“Sebenarnya, kita tidak mahu insiden buruk berlaku, terutamanya jika berlaku kemalangan yang melibatkan pelancong asing. Perkara seperti ini bukan sahaja membahayakan nyawa penumpang dan pemandu, malah boleh menjejaskan hubungan antara dua negara,” tegasnya.