TAHUN 2024 direkodkan sebagai tahun paling berdarah bagi wartawan di seluruh dunia apabila 124 wartawan dan pekerja media terbunuh, dengan hampir 70 peratus daripadanya dibunuh oleh pengganas Israel di Gaza.
Statistik dikeluarkan Committee to Protect Journalists (CPJ) itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya dan menjadi rekod tertinggi sejak organisasi tersebut memulakan pemantauan.
Dalam tempoh sama, laporan menyebut 82 wartawan terbunuh di Gaza dan tiga di Lubnan akibat serangan Israel, manakala ratusan lagi cedera atau hilang.
Bahkan pada 10 Ogos 2025, dunia dikejutkan lagi apabila wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif, maut bersama empat rakan media dan dua orang awam dalam serangan udara Israel di Gaza.
Kes itu menjadikan angka kematian wartawan Palestin sejak perang meletus pada Oktober 2023 meningkat kepada 184 orang, termasuk yang dibunuh di rumah, di jalan, atau dalam kenderaan yang jelas bertanda ‘PRESS’.
Pemerhati media antarabangsa melihat tindakan Israel sebagai serangan sistematik terhadap wartawan tempatan yang menjadi satu-satunya sumber maklumat bebas dari Gaza susulan larangan akses media asing ke wilayah berkenaan.
United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sebelum ini mengesahkan 62 wartawan dan pekerja media Palestin terbunuh sejak Oktober 2023 serta menyalurkan bantuan kecemasan, termasuk sokongan psikososial dan peralatan keselamatan.
Selain Gaza, data CPJ dan UNESCO menunjukkan pembunuhan wartawan berlaku di 18 negara pada 2024, namun angka di Palestin menguasai statistik. Negara-negara berkonflik seperti Sudan, Pakistan dan Myanmar juga mencatat kematian wartawan, tetapi dalam jumlah jauh lebih rendah.
Trend sebelum ini menunjukkan angka kematian wartawan agal rendah. UNESCO merekodkan 55 kes pada 2021, terendah dalam lebih sedekad – sebelum meningkat semula kepada 67 pada 2022 dan melonjak drastik pada 2024.
Laporan Reporters Without Borders (RSF) pada 2015 merekodkan 110 wartawan terbunuh, 67 daripadanya disasarkan ketika bertugas. Namun, selepas 2021, konflik berskala besar kembali memacu statistik, terutama di Timur Tengah.
Fakta lain yang membimbangkan, sekitar 85 peratus kes pembunuhan wartawan di seluruh dunia kesnya masih tergantung , menjadikan budaya impuniti sebagai pendorong berterusan kepada jenayah ini.
Golongan wartawan bebas turut menjadi mangsa besar: pada 2024, 43 wartawan bebas terbunuh, termasuk 31 di Gaza.
UNESCO turut memberi amaran bahawa 78 peratus kematian wartawan pada 2020–2021 berlaku di luar kawasan tugasan, menandakan wartawan menjadi sasaran walaupun ketika tidak membuat liputan.
Selain perang, wartawan yang melaporkan isu alam sekitar turut menjadi sasaran dengan seramai 44 terbunuh antara 2009 hingga 2023, dengan hanya lima kes berjaya dibawa ke muka pengadilan.
Pengamal media di Mexico yang lama dianggap negara paling berbahaya di luar zon perang, terus berdepan ancaman pembunuhan oleh kartel dadah dan jenayah terancang.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022 juga meningkatkan risiko liputan konflik dan menyumbang kepada kenaikan angka global.
Organisasi media antarabangsa menggesa pelaksanaan penilaian risiko tugasan, latihan keselamatan (HEFAT), insurans liputan perang, SOP komunikasi kecemasan, dan sokongan logistik bagi mengurangkan risiko kematian.
Selain itu, negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu disaran mengikat komitmen 'anti impuniti' kepada penunjuk prestasi yang jelas, termasuk kadar siasatan dan pendakwaan kes pembunuhan wartawan.
Dekad lalu jelas menunjukkan bahawa apabila konflik besar tercetus dan undang-undang gagal melindungi wartawan, angka korban melonjak.
Bagi pemerhati hak asasi, rekod 2024 dan rentetan pembunuhan hingga Ogos 2025 menandakan situasi keselamatan wartawan masih kritikal, khususnya di Gaza.
Tanpa tindakan tegas masyarakat antarabangsa, kebebasan media bakal terus terancam, dan nyawa wartawan akan kekal menjadi taruhan di medan konflik.
Pemimpin dunia kecam kekejaman Israel terhadap wartawan
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, mengecam keras tindakan Israel yang membunuh wartawan di Gaza sambil menyifatkannya sebagai jenayah perang yang disengajakan.
Beliau menegaskan, wartawan adalah saksi kepada kebenaran dan membunuh mereka sama seperti cuba membunuh kebenaran itu sendiri.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, turut mengutuk pembunuhan berterusan terhadap wartawan Palestin, menegaskan bahawa tuduhan Israel kononnya wartawan terlibat dalam aktiviti keganasan adalah tidak berasas dan bertujuan menyekat suara bebas.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, António Guterres, menyeru siasatan bebas dan telus terhadap semua kes pembunuhan wartawan di Gaza, sambil mengingatkan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan jelas melindungi pengamal media di zon konflik.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam kenyataannya menyifatkan serangan terhadap wartawan sebagai serangan terhadap demokrasi dan menuntut agar Israel menghentikan segera tindakan yang mencabuli kebebasan media itu.