SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, meluahkan rasa kecewa mendalam terhadap laporan akhbar tempatan pada 12 Ogos 2025 yang menggunakan tajuk utama"Militan menggunakan identiti media" berhubung pembunuhan wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif.
Beliau berkata, hakikat tajuk demikian boleh melepasi proses editorial merupakan satu penghinaan, bukan sahaja terhadap memori Anas, malah kepada asas etika kewartawanan itu sendiri.
"Anas terbunuh pada 10 Ogos 2025 dalam serangan udara Israel bersama rakan sekerja Al Jazeera yang lain. Rejim Zionis secara palsu menuduh beliau sebagai anggota Hamas, satu dakwaan yang telah beliau nafikan secara tegas semasa hayatnya dan yang turut ditolak oleh Committee to Protect Journalists. Pembunuhan ini telah menerima kecaman yang meluas dari seluruh dunia.
"Walaupun laman tersebut kemudiannya telah mengeluarkan permohonan maaf, penerbitannya tetap mencerminkan kegagalan besar dalam pertimbangan moral.
"Rasa marah terhadap genosid di Gaza dan sokongan terhadap perjuangan pembebasan Palestin melangkaui batas agama, kaum, dan kewarganegaraan. Hanya mereka yang tidak memiliki sifat nurani atau sengaja menutup mata sahaja yang mampu melihat imej kemusnahan setiap hari tanpa rasa marah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Anas dilaporkan terbunuh bersama empat lagi rakan setugas dalam serangan tepat yang disasarkan Israel ke atas sebuah khemah wartawan berhampiran Hospital al-Shifa di Bandar Gaza pada malam Ahad.
Menurut Al Jazeera, tujuh individu maut dalam serangan di luar pintu utama hospital itu, termasuk koresponden Mohammed Qreiqeh serta jurukamera Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal dan Moamen Aliwa.
Tambah Nik Nazmi, melaporkan pembunuhan seorang wartawan berwibawa yang dibunuh hanya kerana menjalankan tugasnya menyampaikan kebenaran dengan sikap sambil lewa seperti itu adalah sama ertinya dengan berpihak — sama ada melalui kelalaian atau sifat pengecut — kepada mereka yang mahu membungkam media melalui keganasan.
"Permohonan maaf akhbar tersebut hanyalah igauan kosong. Ia tidak secara jelas mengecam pembunuhan Anas, tidak mengiktiraf penyasaran sistematik terhadap wartawan di Gaza, dan tidak mengakui bahawa pendirian yang kita ambil terhadap malapetaka yang berlaku di sana adalah isu moral global terpenting bagi generasi kita.
"Dengan berbuat demikian, ia memberi isyarat kepada para pembacanya bahawa pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah dan kitaran keganasan tanpa henti di Timur Tengah adalah perkara remeh — satu penghinaan terhadap rakyat Malaysia daripada pelbagai agama yang telah teguh berdiri menyokong Palestin," katanya.
Tambah beliau, sebuah media tidak boleh mengaku mempertahankan kebebasan akhbar atau kebebasan bersuara sambil meminimakan atau memesongkan fakta pembunuhan wartawan.
Ujarnya, kebebasan tersebut menuntut bukan sahaja hak untuk bersuara tetapi juga tanggungjawab, ketepatan, dan pertimbangan yang waras.
"Dengan menerbitkan tajuk tersebut, akhbar terbabit telah gagal sepenuhnya dalam semua aspek," ujarnya.