JAKARTA - Bendera anime Jepun popular secara tiba-tiba menjadi simbol protes politik di Indonesia yang dikhuatiri segelintir pihak jika ia cuba memecah-belahkan negara itu menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos ini.
Lambang bendera One Piece yang memaparkan tengkorak memakai topi jerami di atas dua tulang bersilang ada di mana-mana dan trend itu terus menjadi ikutan ramai terutamanya golongan muda.
Pengguna media sosial menjelaskan bendera Jolly Roger itu dipilih sebagai simbol perjuangan kerana ia melambangkan keberanian dan penentangan terhadap penindasan.
Presiden Prabowo Subianto bagaimanapun tidak cepat melatah dan menyifatkan ia sebagai 'ungkapan kreativiti' setelah Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi membenarkan fenomena tersebut selagi rakyat tidak menentang bendera kebangsaan.
Siri fiksyen One Piece mengisahkan tentang Monkey D Luffy bersama kru lanunnya meneroka dunia fantasi untuk mencari harta karun.
"Luffy dan rakan-rakannya cuba mencari kebebasan dan menentang pemerintah drakonian yang kebal daripada undang-undang," ujar artis mural tempatan, Radinal Muhtar yang turut melukis lambang Jolly Roger di belakang keretanya
Menurutnya, lukisan itu kurang berisiko mendapat perhatian pihak berkuasa berbanding mengibarkan bendera seperti yang tular di media sosial.
"Trend ini untuk mewakili suara orang ramai yang bimbang dengan ekonomi tidak menentu, kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan dan dasar kerajaan yang merugikan rakyat," jelasnya.
Sementara itu, ahli sosiologi dari Universiti Airlangga, Profesor Bagong Suyanto berkata, trend bendera One Piece merupakan 'gerakan besar-besaran' kerana ia merentasi kelas sosial dan kumpulan umur.
"Golongan itu percaya dasar kerajaan meminggirkan kepentingan mereka. Tindakan mengibarkan bendera itu termasuk di platform media sosial sebenarnya satu bentuk kreativiti," tambahnya.
Pada awal tahun lalu, ramai rakyat Indonesia berkongsi hashtag #IndonesiaGelap di platform media sosial untuk menzahirkan kebimbangan mereka terhadap masa depan negara itu.
Ketika itu, kebanyakan golongan muda juga berhasrat mahu 'berhijrah' demi meneruskan kehidupan lebih baik.
Rujukan budaya popular
Indonesia bukanlah satu-satunya negara yang mana generasi muda menggunakan rujukan budaya popular untuk meluahkan rasa kekecewaan mereka kepada pemerintah.
Pada 2020, kumpulan pelajar di Thailand pernah menggunakan simbol hormat tiga jari francais Hunger Games untuk mengkritik monarki.
Mereka turut mengambil bahagian dalam pemakaian kostum Harry Potter untuk menyampaikan maksud tentang 'He Who Shall Not be Named yang merupakan sindiran tersirat terhadap Raja Thailand.
Aktivis di negara Gajah Putih itu juga menggunakan watak manga Jepun, Hamtaro untuk melancarkan protes terhadap kerajaan dan monarki.
Suyanto berpendapat bantahan secara sindiran halus seperti itu lebih kreatif dan selamat buat generasi milenial 'bersuara lantang'.
"Saya lihat cara itu lebih berkesan kerana mendapat respons elit politik. Mereka tidak perlu bersusah payah turun ke jalan raya atau terlibat konfrontasi dengan pihak berkuasa seperti demonstrasi tipikal," jelasnya lagi.
Bagi pakar undang-undang jenayah, Abdul Fickar Hadjar di Universiti Trisakti, trend bendera One Piece tersebut bukanlah satu kesalahan.
"Tiada undang-undang melarang pengibaran bendera bertemakan fiksyen. Setiap rakyat berhak untuk kibarkan apa jua bendera, sepanduk atau simbol melainkan mahkamah mengeluarkan larangan tertentu," menurutnya.
Sebelum ini, Indonesia pernah mengharamkan bendera yang digunakan kumpulan pemberontak dan organisasi pengganas serta simbol komunisme. - Agensi