JAKARTA - Seorang lelaki berusia 23 tahun tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dibelasah dan dipermalukan orang ramai setelah ditangkap berdua-duaan dengan seorang wanita berstatus isteri orang di Desa Srigading, Kecamatan Ngawen, Kabupaten Blora, Jawa Tengah.
Lelaki yang dikenali sebagai MM atau Cimut itu memaklumkan kejadian berlaku pada awal pagi 2 Februari lalu, ketika dia berada di rumah wanita berkenaan.
Kehadirannya disedari penduduk kampung sebelum sekumpulan individu bertindak menyerang dan memukulnya.
Menurutnya, dia dipukul secara beramai-ramai oleh kira-kira 30 orang sehingga mengalami kecederaan fizikal.
Selain itu, dia turut mendakwa dibogelkan sementara tangannya diikat dengan tali dan diarak ke balai desa sejauh kira-kira satu kilometer.
MM turut mendakwa dia diugut untuk dibakar dan dibunuh sekiranya tidak menurut kehendak kumpulan tersebut.
Berikutan kejadian itu, MM bersama peguamnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Blora pada 4 Februari lalu berhubung dakwaan penganiayaan dan perbuatan memalukan di tempat awam.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Blora, Zaenul Arifin mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Walaupun insiden berpunca daripada dakwaan hubungan tidak sah, peguam mangsa menegaskan bahawa tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri tidak boleh dibenarkan.
Katanya, sebarang kesalahan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan kes masih dalam siasatan lanjut. - Agensi