Kala-azar: Pembunuh senyap

Iklan
Perubahan iklim telah menyebabkan lalat pasir terus membiak, sekali gus meningkatkan risiko wabak di kawasan baharu. Foto Agensi

MANDERA - Selama hampir setahun, kesilapan diagnos berulang terhadap penyakit kala-azar yang membawa maut telah menyebabkan kesihatan Harada Hussein Abdirahman, 60, kian merosot ketika wabak tersebut meragut jumlah nyawa tertinggi pernah direkodkan di Kenya.

Kala-azar disebarkan oleh lalat pasir dan merupakan salah satu penyakit tropika paling berbahaya dan diabaikan dengan kadar kematian mencecah 95 peratus jika tidak dirawat. Ia menyebabkan demam, penurunan berat badan dan pembesaran limpa serta hati.

Iklan
Iklan

Menurut Kementerian Kesihatan, kes kala-azar yang juga dikenali sebagai leishmaniasis viseral melonjak daripada 1,575 kes pada 2024 kepada 3,577 kes pada 2025.

Ia telah merebak ke kawasan yang tidak terjejas sebelum ini dan menjadi endemik yang didorong oleh perubahan iklim dan peluasan kawasan penempatan dengan jutaan berisiko dijangkiti.

Iklan

Harada dijangkiti kala-azar ketika dia sedang menggembala di Mandera, timur laut Kenya yang merupakan kawasan titik panas parasit tersebut.

Pendedahan tentang ancaman penyakit itu masih rendah dalam kalangan komuniti setempat. Foto Agensi

Iklan

Daerah itu bagaimanapun hanya dilengkapi tiga kemudahan yang dapat merawat penyakit tersebut.

"Seorang ahli farmasi dengan yakin mendakwa saya diserang malaria dan demam denggi. Rupa-rupanya ia merupakan penyakit lebih teruk," ujarnya yang kini mengalami masalah pendengaran setelah menjalani rawatan untuk membuang toksin dalam tubuhnya.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati Afrika Timur secara keseluruhan menyumbang lebih dua pertiga daripada kes kala-azar global.

"Perubahan iklim telah menyebabkan lalat pasir terus membiak, sekali gus meningkatkan risiko wabak di kawasan baharu," kata penyelidik di Inisiatif Ubat untuk Penyakit Diabaikan di Nairobi, Dr Cherinet Adera.

Kemudahan terhad

Peningkatan kes dalam kalangan pekerja migran di tapak kuari di Mandera pada tahun lalu menyebabkan pihak berkuasa mengehadkan pergerakan pada waktu senja dan subuh iaitu ketika lalat pasir paling aktif.

Sekurang-kurangnya dua mangsa meninggal dunia.

"Kami tidak tahu tentang penyakit aneh yang menyebabkan kematian mereka. Kami amat takut," kata Evans Omondi, 34.

Pada 2023, enam negara paling terjejas menerima pakai rangka kerja di Nairobi untuk menghapuskan penyakit tersebut menjelang 2030.

Tetapi, kemudahan kesihatan amat terhad untuk mendiagnos dan merawat kala-azar.

Pakar penyakit tropika untuk NGO kesihatan Amref, Dr Paul Kibati berkata, lebih banyak latihan diperlukan kerana kesilapan dalam ujian dan rawatan boleh meragut nyawa.

"Rawatan itu boleh bertahan selama 30 hari dan melibatkan suntikan harian serta pemindahan darah yang menelan kos kira-kira AS$775 (RM3,049) tidak termasuk ubat-ubatan," jelasnya.

Data WHO mendapati Afrika Timur secara keseluruhan menyumbang lebih dua pertiga daripada kes kala-azar global. Foto Agensi

Lalat pasir biasanya hidup pada rekahan tanah dan rumah lumpur yang tidak diplaster dengan baik serta sarang anai-anai.

Ia membiak dengan cepat semasa musim hujan selepas tempoh kemarau berpanjangan.

Bahagian timur laut Nairobi dan negara jiran di Ethiopia dan Somalia sudah pun berdepan kemarau yang dahsyat sejak beberapa bulan lalu.

"Kala-azar menjejaskan komuniti paling miskin yang mengalami malnutrisi dan sistem imun lemah. Kami menjangkakan lonjakan kes apabila musim hujan bermula," menurut Kibati. - AFP