JEMBER - Tular video memaparkan seorang guru bertindak membogelkan 22 murid hanya kerana kehilangan wang kepunyaannya.
Susulan perbuatannya meraih perhatian warganet, Dinas Pendidikan (Dispendik) Kabupaten Jember akhirnya mengambil tindakan tegas terhadap FT yang bertugas di SDN 02 Jelbuk, Jawa Tengah di Indonesia.
Kepala Dinas Pendidikan Jember, Arief Tjahjono berkata, mereka telah memanggil guru tersebut untuk mengambil keterangannya.
"Dia berasa terlalu marah kerana wang miliknya sudah hilang beberapa kali dan dalam kejadian kecurian terbaharu, ia melibatkan wang berjumlah 75,000 rupiah (RM17).
"Keadaan kesihatan yang kurang baik ditambah dengan tekanan menyebabkannya bertindak di luar kawalan," ujar Arief pada Rabu.
Kes tersebut diketahui umum selepas berlaku kekecohan di sekolah akibat bantahan ibu bapa hinggakan sebahagian klip tersebar secara meluas di media sosial.
Bagi meredakan kemarahan banyak pihak dan memastikan kegiatan belajar mengajar (KBM) kembali seperti biasa, FT telah digantung tugas.
"Dia mungkin akan dipindahkan ke sekolah lain," jelasnya lagi. - Agensi