KUALA LUMPUR – Pelaksanaan prasekolah universal perlu dilihat sebagai langkah strategik awal bagi mengurangkan beban kewangan keluarga muda dan menangani cabaran negara menua yang dijangka dihadapi Malaysia pada 2044.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kemudahan pendidikan awal secara percuma atau hampir percuma itu mampu menjimatkan sekurang-kurangnya RM700 sebulan bagi keluarga muda, sekali gus membantu menghapuskan halangan psikologi yang menyebabkan ramai golongan muda enggan berkahwin dan mempunyai anak.
Menurutnya, prasekolah universal untuk kanak-kanak seawal usia lima tahun bukan sekadar aspek pendidikan, sebaliknya sebahagian strategi jangka panjang untuk memastikan kadar kelahiran negara tidak terus merosot seperti dialami Jepun, Korea Selatan dan bakal dihadapi China.
“Di Jepun dan Korea, kerajaan menawarkan pelbagai bentuk insentif kepada generasi muda untuk berkahwin dan mempunyai anak, namun gagal kerana kos membesarkan anak terlalu tinggi. Malaysia perlu bertindak awal supaya tidak mengulangi kesilapan itu,” katanya dalam Podcast Yang Berhenti Menteri baru-baru ini.
Rafizi berkata, Malaysia hanya mempunyai 17 tahun sebelum mencapai status negara tua pada 2044, dengan beban cukai dan tanggungan kewangan bakal ditanggung sepenuhnya oleh generasi Z dan milenial ketika itu.
Katanya, negara-negara seperti Jepun dan Korea melalui proses penuaan penduduk ketika mereka sudah berstatus negara maju dengan sistem kebajikan warga emas yang mantap, namun tetap berdepan kesukaran menguruskan kekurangan tenaga kerja muda dan kos penjagaan warga tua.
“Malaysia jauh lebih miskin ketika bakal menjadi negara tua, sistem kebajikan sosial untuk warga emas pun belum wujud, malah kita tidak mempunyai sistem penjagaan warga tua yang menyeluruh,” tegasnya.
Beliau mendedahkan, cadangan awalnya untuk memperkenalkan bantuan tunai anak (child benefit) kepada semua keluarga tanpa mengira jumlah pendapatan pernah ditolak, walaupun menurutnya insentif itu penting kerana anak adalah sumber modal insan negara.
“Kalau hanya beri bantuan berbentuk perkhidmatan seperti sekolah dan klinik kerajaan, keluarga muda tidak akan mengira nilainya. Apa yang mereka nampak ialah pendapatan bulanan yang tidak cukup untuk menampung kos anak. Bantuan tunai memberi kesan psikologi positif,” katanya.
Rafizi menjelaskan, pemberian insentif awal seperti prasekolah universal atau bantuan tunai anak mampu mendorong keputusan berkahwin dan beranak sebelum wujud fenomena generasi beta yang menolak perkahwinan, sekali gus merosotkan kadar kelahiran.
Katanya, sebaik kadar kelahiran jatuh di bawah tahap penggantian populasi, tiada negara di dunia yang berjaya memulihkannya semula walaupun berbelanja besar.
Dalam aspek fiskal, Rafizi menegaskan keperluan mengurangkan caj perkhidmatan hutang negara yang kini mencecah RM46 bilion setahun atau 16 peratus daripada hasil negara, dengan mengawal defisit kepada 3.5 peratus menjelang 2025.
Beliau menjelaskan, strategi itu sudah dimulakan sejak pelaksanaan kerangka Ekonomi Madani pada 2023, diikuti Kajian Separuh Penggal RMK12, bagi memastikan nisbah hutang kepada KDNK kembali sekitar 60 peratus pada 2028.
“Jika kita terus berhutang tanpa kawalan, ia hanya memindahkan beban kepada generasi muda. Pelabur asing mahu melihat kerajaan berfikir jangka panjang dan berbelanja secara berhemah,” katanya.
Rafizi turut mengingatkan bahawa perbincangan mengenai isu negara tua sepatutnya bermula 10 tahun lalu, termasuk langkah memberi insentif perkahwinan dan anak lebih awal bagi mengelakkan Malaysia mengulangi kesilapan negara lain.
“Saya harap siapa pun memerintah, jangan berhutang dan berbelanja secara boros. Kita perlu mula fikir untuk generasi akan datang,” katanya.