Malaysia, Bangladesh perkukuh hubungan strategik melalui lapan MoU

Iklan
Anwar bersama Muhammad Yunus di sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat dua hala di Kompleks Perdana Putra pada Selasa.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Bangladesh menandatangani lapan memorandum persefahaman (MoU) dan pertukaran nota melibatkan pelbagai sektor sempena lawatan rasmi Ketua Penasihat Bangladesh, Dr Muhammad Yunus ke negara ini.

Pertukaran dokumen disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Muhammad Yunus di Kompleks Perdana Putra pada Selasa bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, pertahanan, tenaga, perdagangan serta ekosistem halal.

Iklan
Iklan

Kerjasama diplomatik diperkukuh melalui pertukaran nota latihan untuk diplomat antara Datuk Seri Mohamad Hasan dan Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh, Md Touhid Hossain.

Mohamad, bagi pihak Kementerian Pendidikan Tinggi bertukar nota dengan Penasihat Kementerian Kebajikan Perantau dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Dr Asif Nazrul, yang membuka ruang perkongsian kepakaran akademik dan pertukaran pelajar.

Iklan

Sektor pertahanan menjadi tumpuan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memeterai MoU dengan Md Touhid bagi meningkatkan latihan ketenteraan, perkongsian teknologi dan keselamatan serantau.

Dalam sektor tenaga, Menteri Kewangan II merangkap Pemangku Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memeterai MoU dengan Penasihat Kementerian Pengangkutan Jalan dan Jambatan, Tenaga, Sumber Mineral dan Kereta Api Bangladesh, M Fouzul Kabir Khan.

Iklan

MoU itu meliputi bekalan gas asli cecair (LNG), pembangunan infrastruktur LNG serta produk petroleum.

Bagi memperkukuh industri halal, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bertukar nota dengan Pengerusi Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Bangladesh (BIDA), Chowdhury Ashik Mahmud Harun.

Hubungan antara pusat kajian strategik kedua-dua negara turut diperluas melalui MoU antara Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah, dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Md Shameem Ahsan.

Kerjasama teknologi dan industri pula diterjemahkan melalui MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Services Sdn Bhd, Mohamad Fauzi Yahaya dan Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Bangladesh-Malaysia (BMCCI), Shabbir Ahmed Khan.

Sementara itu, hubungan dagang terus diperkukuh dengan MoU antara Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Seri N Gobalakrishnan dan Pentadbir Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bangladesh (FBCCI), Md Hafizur Rahman.

Kesemua MoU ini dijangka memberi manfaat ekonomi, memperkukuh hubungan dua hala serta membuka peluang baharu untuk kerjasama masa hadapan.

Muhammad Yunus memulakan lawatan rasmi tiga hari bermula Isnin atas jemputan Anwar.

Terdahulu, Muhammad Yunus menerima sambutan rasmi di Dataran Kompleks Perdana Putra sebelum menandatangani buku pelawat dan mengadakan mesyuarat dua hala lebih sejam dengan Anwar.

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (AS$2.92 bilion), meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding 2023.

Bangladesh merupakan rakan dagang kedua terbesar dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan.

Eksport utama Malaysia ke Bangladesh termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan keluaran kilang.

Menurut Wisma Putra, lawatan ini dijangka terus memperkukuh hubungan dua hala serta memupuk kerjasama yang lebih erat dalam bidang yang saling menguntungkan, berasaskan asas kukuh yang telah terjalin sejak hubungan diplomatik dimeterai pada 1972.