KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mewujudkan jawatan warden sekolah secara tetap sebagai usaha menangani kes buli di asrama yang semakin membimbangkan ketika ini.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pelantikan guru sebagai warden dilihat tidak lagi sesuai dilaksanakan memandangkan wujud pelbagai kekangan.
Menurutnya, gesaan itu merupakan antara empat cadangan bagi memastikan insiden yang menimpa Zara Qairina Mahathir tidak berulang.
“Sekarang ini tugas warden diambil dalam kalangan guru. Guru yang sama, pagi pergi ke sekolah, malam pula masuk asrama menjaga pelajar. Keesokannya pula perlu masuk ke sekolah semula menyebabkan guru tiada rehat.
“Sebenarnya sudah lama cadangan ini dibuat dan sekarang tiba masanya untuk dilaksanakan secara serius,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini pada Isnin.
Kisah Zara Qairina mendapat liputan meluas, sama ada daripada media arus perdana mahupun warga maya, khususnya selepas jenazahnya dikeluarkan semula 23 hari selepas dikebumikan menerusi proses gali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama di Sipitang, Sabah.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, tiga lagi cadangan ialah melaksanakan audit dalaman seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di asrama, segera menggubal akta berkaitan buli, dan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet untuk menangani kes buli.
Sementara itu, mengulas mengenai kontroversi kes Zara Qairina, Afnan Hamimi mendakwa keadaan itu berlaku disebabkan prosedur siasatan yang tidak betul.
Beliau mendakwa, situasi itu akhirnya membawa kepada pelbagai spekulasi sehingga kes berkenaan mendapat liputan meluas.
Afnan secara berseloroh memuji kepantasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam menangani kes buli melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sehingga ada pelajar yang dibuang sekolah.
Katanya, Setiausaha Agung UMNO itu dilihat calon sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Pendidikan.