'Tuntut gali semula kubur anak demi kebenaran' - Ibu Allahyarham Syamsul Haris

Iklan
Ummu Haiman menunjukkan gambar Allahyarham anaknya semasa ditemui di kediamannya pada Isnin.

SEMENYIH – Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, menuntut kubur anaknya itu digali semula bagi melakukan bedah siasat kali kedua.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, tuntutan itu dibuat kerana tidak yakin punca kematian anak sulung daripada tiga beradik itu disebabkan sawan seperti dimaklumkan pihak terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia percaya Allahyarham anaknya itu dibelasah, dipukul dan didera hingga meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor, pada 28 Julai lalu.

"Laporan awal bedah siasat pada 29 Julai lalu di Hospital Sultan Ismail hanya menyatakan keputusan 'pending laboratory investigation' yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Iklan

"Saya tidak puas hati dengan hasil laporan itu kerana sewaktu melihat jenazah di unit forensik terdapat kesan kecederaan di bawah mata, pendarahan luar biasa dari hidung dan mata, luka di mulut dan kesan lebam teruk di leher yang ditutup kapas tebal, malah ketika jenazah dimandi dan dikafan, darah masih keluar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di sini pada Isnin.

Ummu Haiman memaklumkan sudah melantik peguam dan memberitahu Menteri Pengajian Tinggi mengenai perkara itu, selain dimaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, hingga kini beliau belum menerima sebarang perkembangan hasil siasatan.

Ujar beliau, Allahyarham Syamsul Haris mengambil jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) di UTM Skudai, Johor, menjadi harapan keluarga selepas kematian bapanya pada Disember lalu.

"Saya hilang dua insan kesayangan tidak sampai setahun, walaupun anak saya tidak akan kembali, saya mahu kebenaran ditegakkan supaya kes seperti ini tidak berulang kepada anak orang lain," tambahnya.

Sebelum ini, Ummu Haiman menuntut siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya ketika menjalani latihan di Palapes UTM Pulada, Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram, Johor dengan sebab kematian yang belum jelas.