Cari penerbangan awal pagi untuk seludup dadah ke Sarawak melalui KLIA

Iklan
Antara dadah yang dirampas polis susulan tangkapan tiga suspek baru-baru ini.

SEPANG - Rangkaian penyeludupan dadah ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini tumpas apabila tiga warga tempatan berjaya dicekup baru-baru ini.

Kesemua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dalam serbuan berasingan dengan rampasan dadah bernilai RM436,000.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah berkata, serbuan pertama kira-kira jam 11.30 pagi pada 4 Ogos lalu menahan seorang lelaki di kawasan parkir pangsapuri di Sepang.

Menurutnya, susulan itu serbuan di pangsapuri itu telah membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki dengan rampasan bungkusan plastik disyaki berisi dadah jenis ketamin seberat 1 kilogram (kg) serta 1.54 kg erimin 5 bernilai RM204,000.

Iklan

"Modus operandi suspek berusia 30 dan 42 tahun itu adalah mengambil bekalan dadah di sekitar Selangor dan menyembunyikan dalam bagasi seterusnya mengambil penerbangan awal pagi yang dianggap sukar dikesan pihak berkuasa.

"Dipercayai dadah ini untuk dipasarkan ke Sarawak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambah Albany, soal siasat kemudian berjaya mengesan sebuah kenderaan kira-kira jam 2.30 petang di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Kajang dan menemui satu bungkusan plastik mengandungi serbuk kristal disyaki methamphetamine seberat 1 kg bernilai RM32,000.

Katanya, polis turut menahan seorang wanita berusia 32 tahun yang memiliki lima rekod jenayah kira-kira jam 10 malam, 5 Ogos di sebuah pangsapuri di Gombak.

"Kita telah merampas satu bungkusan plastik disyaki berisi dadah ketamin seberat 1kg dan 1.5kg eramin 5 bernilai RM200,000.

"Suspek wanita ini dipercayai sedang menunggu waktu sesuai bagi mengambil penerbangan ke Sarawak melalui KLIA," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis mengalukan orang awam menyalurkan maklumat jenayah terutama berkaitan dadah dalam usaha membanteras pengedaran serta penyalahgunaan bahan berkenaan," ujarnya.