JOHOR BAHRU – Johor mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama di negara ini menggunakan kaedah rawatan air daripada kumbahan terawat untuk kegunaan industri, khususnya pusat data.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui kerjasama antara Johor State Water (JSW) dan Indah Water Konsortium (IWK), sebanyak 12 juta liter sehari (JLH) efluen terawat dapat dibekalkan.
Menurutnya, air tersebut akan diproses menerusi Loji Air Pulih Guna sebelum disalurkan kepada dua pusat data utama, iaitu Bridge Data Centers (BDC) dan Computility Technology Malaysia.
“Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri ini penting untuk menggalakkan pertumbuhan mampan industri pusat data di Johor tanpa memberi tekanan kepada bekalan air negeri.
“Ini adalah salah satu langkah masa depan supaya air tidak dibuang begitu sahaja, sebaliknya dikitar semula dan digunakan semula oleh pemain industri.
“Saya juga menyeru negeri-negeri lain mencontohi inisiatif yang telah dilaksanakan oleh negeri Johor bagi mengelakkan pembaziran air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Penggunaan Alternatif bagi Industri Data di Johor di sini pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Fadillah memberitahu, pembangunan industri pusat data di negeri ini dipantau oleh Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor yang berperanan memastikan pembangunan projek memberi fokus kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjimatkan elektrik dan air.
“Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini menjadi usaha penting dalam memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan, berdaya tahan dan progresif.
“Inisiatif penggunaan air dipulih guna ini adalah sejajar dengan Keutamaan D6 Pemeliharaan Kesihatan Bumi RMK13 yang antaranya menekankan usaha mempelbagaikan sumber air secara mampan dan mengurangkan kebergantungan kepada air mentah,” katanya.