JAKARTA - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intel, Lip-Bu Tan akhirnya menjawab gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar beliau meletakkan jawatan.
Tan menyatakan pendirian itu menerusi memo dalaman kepada warga kerja Intel.
Beliau menegaskan sentiasa memimpin dengan mematuhi piawaian undang-undang dan etika tertinggi, sekali gus menolak dakwaan wujud konflik kepentingan.
“Amerika Syarikat telah menjadi rumah saya selama lebih 40 tahun. Saya amat menyayangi negara ini dan sangat bersyukur atas peluang yang telah diberikan,” katanya seperti dipetik menerusi laman rasmi Intel.
Tan turut menegaskan bahawa banyak maklumat yang tersebar berkaitan pelaburan di China adalah tidak tepat.
Anak kelahiran Johor Bahru, Malaysia itu menyatakan komitmen penuh terhadap keselamatan negara AS sambil menambah Intel akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memperjelas fakta sebenar.
Dalam kenyataan berasingan, pihak Intel memaklumkan syarikat dan CEO tersebut kekal komited memperkukuh keselamatan negara serta kemakmuran ekonomi Amerika Syarikat.
“Intel telah beroperasi di Amerika selama 56 tahun dan terus melabur berbilion dolar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan semikonduktor domestik,” kata pengurusan syarikat itu.
Walaupun lembaga pengarah menyatakan sokongan penuh terhadap usaha transformasi Tan, tekanan daripada Rumah Putih, Kongres dan pelabur telah menjadikan kedudukannya semakin sukar.
The Wall Street Journal melaporkan beberapa inisiatif Tan, termasuk rancangan pengambilalihan syarikat kecerdasan buatan (AI) dan kutipan dana, tergendala akibat perbezaan pandangan dalam lembaga pengarah.
Memandangkan Intel merupakan penerima subsidi terbesar di bawah Akta CHIPS dan Sains 2022, berjumlah AS$8 bilion (RM35.2 bilion) untuk memperluas kilang cip di Amerika Syarikat, isu ini menjadi lebih sensitif.
Polisi tersebut sejajar dengan agenda “America First” Trump yang bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap produk luar negara, khususnya dari China.
Pada 7 Ogos 2025, Trump menggesa Tan meletakkan jawatan menerusi platform media sosial Truth Social. Kenyataan itu segera menyebabkan harga saham Intel merosot berikutan kebimbangan pelabur terhadap kepimpinan syarikat teknologi tersebut.
Gesaan itu dibuat sehari selepas Senator Republikan Tom Cotton menghantar surat rasmi kepada lembaga pengarah Intel, mempersoalkan hubungan perniagaan Tan dengan syarikat teknologi China, termasuk yang didakwa mempunyai kaitan dengan tentera negara itu. - Agensi