UTTAR PRADESH – Ekonomi luar bandar di Uttar Pradesh dijangka mendapat rangsangan apabila buat pertama kali, pengeluaran gas metana daripada najis lembu akan dilaksanakan secara besar-besaran bagi menghasilkan bahan api yang mampu menggerakkan kenderaan untuk jarak jauh.
Ia sekali gus dilihat mampu mewujudkan peluang pekerjaan di kampung dan mengukuhkan ekonomi hijau.
Pakar berpendapat, najis daripada seekor lembu mampu menghasilkan gas metana bersamaan 225 liter petrol setahun.
Setelah melalui proses penulenan, biogas termampat (CBG) itu mampu menggerakkan kereta sejauh lebih 5,500 kilometer.
Pengerusi Go-Seva-Aayog Uttar Pradesh, Shyam Bihari Gupta pada Ahad berkata, negeri itu menerima purata 5.4 juta kilogram najis setiap hari daripada lembu terbiar.
Najis tersebut boleh diproses di loji CBG untuk pelbagai kegunaan termasuk penghasilan metana, bahan api memasak di kawasan luar bandar, bahan api pemanas untuk industri kecil dan sebagai larutan organik dalam pertanian semula jadi. Langkah ini berpotensi menjana pendapatan tahunan bernilai ratusan ribu rupee.
Pegawai khas Go-Seva-Aayog, Dr Anurag Srivastava pula berkata, penternakan metana boleh menjadi alternatif kepada bahan api fosil pada masa depan.
"Inisiatif kerajaan negeri dalam bidang ini mempromosikan konsep ‘Sisa kepada Kekayaan’ yang mampu menyediakan bahan api berkesan untuk pengangkutan dan ekonomi hijau.
“Gas metana yang dihasilkan daripada najis setiap ekor lembu adalah sejenis gas asli yang mesra alam dan menjimatkan,” katanya. -Agensi