Kerajaan belum cadang wujudkan skim KWSP, PERKESO untuk guru takmir

Iklan
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan ketika ini belum bercadang untuk mewujudkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk guru takmir.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira status guru berkenaan bukan berjawatan tetap dan kontrak.

Iklan
Iklan

“Caruman KWSP boleh dikenakan sekiranya individu tersebut mempunyai status bekerja di bawah takrifan yang ditetapkan akta KWSP atau PERKESO.

“Walau bagaimanapun, untuk guru takmir mereka bukanlah berjawatan tetap mahu pun kontrak. Perkhidmatan mereka mengikut berapa kelas yang diajar dengan maksimum gaji RM900.

Iklan

“Jadi, setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk menyediakan skim perlindungan di bawah PERKESO kerana kebanyakan guru takmir sudah mempunyai pekerjaan yang lain,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Hassan Saad (PN-Baling) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu skim untuk guru takmir dalam KWSP bagi menampung kehidupan mereka di hari tuan seperti guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).

Iklan

Menjawab soalan mengenai cadangan untuk menaikkan elaun guru takmir daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan, Zulkifli berkata, perkara itu perlu mengambil kira peruntukan yang ada.

Katanya, sekiranya elaun dinaikkan daripada RM1,200 seperti dicadangkan, sekurang-kurangnya RM72 juta setahun atau lebih 33 peratus kenaikkan peruntukan diperlukan bagi membayar elaun kepada 5,000 guru takmir.

"Setakat ini 4,752 guru takmir berkhidmat di seluruh negara dan dilantik secara sambilan dengan bayaran dibuat mengikut jumlah kelas pengajaran,” katanya.

Beliau menambah, guru berkenan dibayar dengan kadar semasa RM100 bagi setiap kelas yang dikendalikan mereka.