SHAH ALAM – Selepas ribuan orang menghadiri himpunan solidariti di beberapa lokasi bagi menuntut keadilan buat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, pencipta kandungan Cikgu Zyd turut melakukan perkara sama.
Kali ini, Cikgu Zyd menganjurkan perhimpunan solidariti ‘Justice for Zara Qairina’ menerusi platform sistem pembangunan permainan dalam talian iaitu Roblox.
Beliau berkata, semua platform patut menyatakan solidariti dan menyokong himpunan sedemikian demi menuntut keadilan buat gadis asal Sipitang, Sabah itu.
“Kita semua kena tunjukkan sokongan dan kebersamaan tidak kira di mana-mana platform media sosial sekali pun untuk sokong ‘Justice for Zara Qairina’.
“Ini mesej kepada rakyat Malaysia bahawa buli bukan perkara main-main hingga meragut nyawa seseorang.
“Kes-kes sebegini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi melibatkan kanak-kanak yang tinggal di asrama. Hentikan buli,” katanya ketika penstriman langsung di Roblox pada Ahad.
Difahamkan, ratusan komuniti Roblox Malaysia mula mengakses pelayan platform berkenaan yang dinamakan ‘Kembara Hangout’ sejak ia dibuka pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada 16 Julai lalu, Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu pada 17 Julai, sehari selepas kejadian.
Kes itu menarik perhatian ramai, khususnya di media sosial selepas dikaitkan dengan dakwaan wujud elemen buli di sekolah terbabit.
Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
AGC berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dilaksanakan dengan menyeluruh.
Terbaharu, proses bedah siasat ke atas jenazah dijangka selesai pada Ahad petang.
Ketika ini, proses masih dijalankan oleh pasukan pakar patologi forensik di Jabatan Forensik HQEI.
Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Hamid Ismail memaklumkan, jenazah akan dibawa terus ke Sipitang untuk pengebumian semula sebaik proses itu selesai.