TELUK INTAN – Polis sedang mengesan lima lagi individu bagi melengkapkan siasatan kes merusuh ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, tujuh suspek berusia 21 hingga 31 tahun yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Ada lima lagi suspek sedang dikesan bagi tujuan melengkapkan siasatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dalam minggu ini bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya di sini pada Ahad.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dalam kejadian merusuh semasa perlawanan bola sepak yang berlangsung di Padang Speedy.
Kejadian berlaku pada separuh masa kedua perlawanan apabila berlaku insiden kekasaran selepas seorang pemain melakukan ‘tackle’ keras terhadap pemain lawan.
Seorang pengadil berusia 23 tahun menerima rawatan di Hospital Teluk Intan selepas ditumbuk di bahagian rusuk ketika cuba meleraikan pergaduhan tersebut.