[VIDEO] Warga asing tinggal beramai-ramai satu rumah, mabuk, ganggu penduduk

Iklan

HULU SELANGOR – Warga asing dipercayai menjadikan kediaman di kawasan luar bandar sebagai lokasi pilihan untuk menetap dan 'bersembunyi' susulan faktor sewa murah serendah RM400 hingga RM600 sebulan, selain pengaruh rakan senegara.

Perkara itu terbongkar selepas seramai 73 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam satu operasi bersepadu di Apartmen Seri Semarak, Bukit Beruntung di sini pada Khamis.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, antara yang ditahan membabitkan 19 lelaki warga Myanmar, enam lelaki Bangladesh, seorang lelaki India, 26 lelaki Pakistan, 17 wanita Pakistan dan empat lelaki Nepal.

"Seramai 188 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan, daripada jumlah itu, 73 orang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Iklan

"Kesemua yang ditahan berusia antara setahun hingga 55 tahun, kebanyakan mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), manakala segelintir lagi tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c),” katanya.

 

Iklan

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di Apartmen Seri Semarak, Bukit Beruntung pada Khamis.

Khairrul Aminus, operasi itu dijalankan susulan aduan wakil penduduk yang berasa tidak selesa dengan kehadiran segelintir warga asing yang didakwa sering menimbulkan kekacauan, mabuk serta bising.

“Ada antara mereka yang tidak mengendahkan teguran penduduk.

"Sebab itu, operasi seperti ini akan terus dijalankan secara bersepadu bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dapat diambil,” katanya.

Menurutnya, operasi itu melibatkan 135 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Imigresen Selangor, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

"Kita difahamkan, warga asing itu tinggal secara berkongsi, empat hingga tujuh orang dalam satu rumah, sama ada berkeluarga atau bujang,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga warga asing yang memiliki pas sah dan bekerja sebagai pengawal keselamatan serta buruh binaan, termasuk di sekitar Kuala Lumpur.

"Warga asing yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan warga asing yang tinggal lebih masa atau tidak mempunyai dokumen supaya mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran yang akan berakhir pada 30 April ini.

“Mereka hanya perlu membeli tiket sehala untuk pulang ke negara asal dan membayar RM520.

"Kami tidak akan mengambil tindakan tangkapan terhadap mereka yang tampil secara sukarela,” katanya.