SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan terbuka untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan saham.
Menurut Azam, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
"Semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan, sebagaimana yang diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.
"Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
"Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Azam berkata, sebagai seorang penjawat awam dan ketua kepada agensi penguatkuasaan, beliau percaya bahawa mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka dan bersedia untuk disiasat secara bebas serta telus.
Katanya, prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian.
"Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim.
"SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan oleh manamana pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah," ujarnya.
Jelasnya, tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata.
"Sepanjang perkhidmatan, saya kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
"Saya akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara ini," ujarnya.
Tegas Azam, beliau yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menegur pihak yang mendesak supaya tindakan diambil terhadap Azam susulan pendedahan pemilikan saham ketua pesuruhjaya itu dalam beberapa syarikat.
Anwar menegaskan, pihak yang mengkritik seharusnya memberi ruang dan mendengar penjelasan daripada Azam terlebih dahulu.