TEMERLOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang memasang papan tanda dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) di kawasan yang dikenal pasti sebagai lintasan gajah.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, langkah itu diambil bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan untuk mengelakkan kemalangan dengan haiwan liar tersebut.
“Kita mahu melindungi gajah daripada terlibat dalam kemalangan seperti yang berlaku kepada anak gajah di Gerik, Perak sebelum ini.
“Justeru, kita mengambil pendekatan baharu dengan memasang papan tanda berlampu LED, antaranya di Gerik; Ulu Muda, Kedah; dan Jerteh, Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, di sini pada Sabtu.
Abdul Kadir berkata, selain gajah, pendekatan sama turut digunakan untuk menyelamatkan haiwan liar lain seperti tapir di laluan Persiaran Mokhtar Dahari, Selangor.
Beliau menjelaskan, bilangan gajah liar di Semenanjung Malaysia kini dianggarkan antara 1,500 hingga 1,800 ekor dan jumlah itu semakin berkurangan akibat penyempitan habitat.
“Apabila hutan habitat gajah yang dahulunya luas kini semakin mengecil, keadaan ini menyebabkan haiwan liar itu terpaksa keluar ke kampung atau kawasan perumahan penduduk untuk mencari makanan.
“Kami akan memindahkan haiwan itu ke lokasi yang lebih sesuai di taman negara supaya mereka dapat mencari makanan dengan lebih selesa,” katanya. - Bernama