KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen sah di Jalan Chan Sow Lin di sini pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usop Jan Mohamad berkata, operasi bermula jam 1.21 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjaga pusat hiburan dan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh berumur sama.
“Siasatan mendapati premis terbabit menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah serta menyalahgunakan permit sedia ada.
“Lelaki tempatan itu sudah setahun bekerja dengan gaji RM3,400 sebulan, manakala pekerja warga Bangladesh menerima upah RM2,000,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63.
Mohamed Usop berkata, dalam serbuan kedua pada jam 1.24 pagi di premis berasingan di kawasan sama, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis.
“Pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen sah.
“Selain itu, rampasan dijalankan melibatkan peralatan pusat hiburan, lima botol minuman pelbagai jenama serta resit perniagaan,” katanya.
Menurutnya, semakan mendapati pusat hiburan itu beroperasi dari jam 9 malam hingga 2 pagi.
“Kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1953 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976,” katanya.