Majikan akan didakwa sorok kes kematian pekerja asing - JKKP

Iklan
Mohd Hatta (depan kanan) mengiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kesuma, Sutekno Ahmad Belon (dua dari kanan) melawat reruai selepas Karnival Kerja Selamat dan Sihat Kesuma 2025 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini pada Sabtu.

KUALA SELANGOR – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengakui terdapat banyak kes kematian dan kemalangan membabitkan pekerja warga asing yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarahnya, Ir Mohd Hatta Zakaria berkata, sebanyak 549 aduan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja direkodkan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Iklan
Iklan

“Dalam bulan ini sahaja kita dapati banyak kes kematian pekerja asing termasuk kes jatuh dan kemalangan lain.

“Semua kes kemalangan di tempat kerja wajib dilaporkan kepada JKKP untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui semasa Karnival Kerja Selamat dan Sihat Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) 2025 di Stadium Tertutup Kuala Selangor, pada Sabtu.

Iklan

Mohd Hatta menegaskan, sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994, pihaknya tidak teragak-agak untuk mendakwa majikan atau mana-mana pihak yang terlibat.

“Ada kes kematian yang disorok dan tidak dilaporkan, namun JKKP akan turun menyiasat jika menerima aduan.

Iklan

“Aduan boleh diterima melalui telefon, media sosial termasuk Facebook dan semua aduan keselamatan serta kesihatan pekerjaan akan disiasat dalam tempoh tiga hari mengikut piagam perkhidmatan,” jelasnya.

Tegas beliau, tindakan tegas akan diambil bagi memastikan majikan mematuhi peraturan keselamatan di tempat kerja demi mengelakkan tragedi berulang.

“Jika siasatan mendapati aduan berasas, kita akan mengambil tindakan pendakwaan mengikut Seksyen 19 (AKKP) 1994, manakala kewajipan majikan pula diperuntukkan di bawah Seksyen 15 (AKKP 1994),” katanya.

Mengulas perkembangan terkini berhubung insiden kebocoran dan kebakaran paip di Putra Heights, Subang Jaya, Mohd Hatta berkata, setakat ini tiada pendakwaan dibuat berhubung kejadian tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan berkenaan.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.

“JKKP memantau talian paip gas dan petroleum sejak peringkat reka bentuk, dengan semakan dilakukan sebelum permit pemasangan dikeluarkan.

“Hasil siasatan juga telah dibentangkan kepada Unit Bencana Negeri sebelum 30 Jun lalu, dengan penglibatan agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar,” tambahnya.