MACHANG – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kubur Zara Qairina Mahathir akan digali secepat mungkin bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berusia 13 tahun itu.
Menurut beliau, arahan itu bertujuan melengkapkan serta mengukuhkan lagi kertas siasatan yang telah dihantar pihak polis sebelum ini.
"Seperti saya sebut minggu lepas, polis telah menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa hari kemudian, kenyataan rasmi dikeluarkan bahawa ada keperluan untuk mayat digali semula.
"Pagi tadi saya telah menerima taklimat daripada Ketua Polis Negara bahawa polis akan segera melaksanakan prosedur berhubung dengan pihak majistret dan bekerjasama dengan pakar forensik untuk melaksanakan proses itu," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau hadir pada Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Machang di sini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memberitahu, tindakan itu penting bagi mengemaskini siasatan dan mengumpul semua bukti tanpa mengabaikan prinsip keadilan.
Ujarnya, keutamaan adalah untuk melaksanakan keadilan kepada Zara Qairina, keluarganya dan semua pihak terlibat termasuk guru serta rakan-rakan mangsa.
Jelas Saifuddin Nasution, polis memberi jaminan proses ini akan dilakukan segera dan perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa kepada masyarakat.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Jabatan Peguam Negara mengesahkan keperluan untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berusia 13 tahun itu.
Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penelitian dilakukan terhadap laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan oleh polis berhubung kes kematian remaja terbabit.