OSAKA, Jepun – ASEAN meraikan ulang tahun ke-58 penubuhannya di Ekspo Osaka 2025 dengan menegaskan semula komitmen terhadap integrasi serantau, pembangunan mampan dan kerjasama ekonomi dengan Jepun di tengah-tengah ketidaktentuan geoekonomi global.
Majlis sambutan yang diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh 10 negara anggota ASEAN yang turut mendapat sokongan padu daripada komuniti Jepun di Osaka.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Satvinder Singh.
Dalam sidang media Tengku Zafrul berkata, sambutan tahun ini amat bermakna kerana ia bertepatan dengan tarikh rasmi ulang tahun ASEAN.
Katanya, Malaysia yang menjadi Pengerusi ASEAN memainkan peranan penting dalam merangka ASEAN Vision 2045, yang bakal menjadi pelan hala tuju jangka panjang ke arah rantau yang aman, stabil, berdaya saing dan berpaksikan rakyat.
Tambah beliau, lebih separuh daripada 18 Hasil Ekonomi Keutamaan (PED) ASEAN tahun ini telah berjaya dicapai, termasuk perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China serta ATIGA yang bakal ditandatangani Oktober ini.
Menjawab soalan media mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Tengku Zafrul berkata Malaysia komited untuk memperkukuh prinsip keneutralan dan multilateralisme, selain memperjuangkan pertumbuhan yang inklusif, saksama dan berdaya tahan.
“Kita tidak boleh ambil mudah keamanan dan kestabilan yang ASEAN nikmati selama ini. Kita mahu pertumbuhan yang bukan sahaja mampan dari segi KDNK, tetapi juga memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di rantau ini,” tegas beliau.
Sementara itu, Satvinder turut menyatakan bahawa sudah tiba masanya ASEAN dan Jepun mengemaskini Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (AJCEP) sedia ada bagi merangkumi elemen baharu seperti e-dagang, inovasi, dan kemampanan.
Beliau menambah, penstrukturan semula rantaian bekalan global harus menumpukan lebih banyak nilai tambah di negara-negara ASEAN sendiri, sejajar dengan usaha penyahkarbonan dan pelaburan mampan oleh syarikat-syarikat Jepun.