Cukai naik tak ubah kehendak perokok

Iklan
Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan menaikkan kadar cukai tembakau.

SHAH ALAM - Kenaikan kadar cukai tembakau tidak mengubah kehendak perokok tegar malah golongan itu mungkin beralih kepada rokok haram yang dibawa masuk dari luar negara.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berpandangan, tembakau haram dijual pada harga yang lebih murah dengan beberapa kajian menunjukkan beban pengguna rokok haram sekitar 50 peratus hingga 60 peratus daripada kegunaan rokok negara.

Iklan
Iklan

“Rokok haram menjadi beban kepada negara kerana penyakit disebabkan rokok masih dilaporkan di kemudahan kesihatan dan hospital antaranya kanser paru-paru, COAD (Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik), emphysema dan sebagainya.

“Peningkatan kos disebabkan cukai rokok secara tidak langsung akan mengurangkan pembeli rokok bercukai, namun perokok bertukar ke rokok haram dan rokok elektronik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor memaklumkan, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan menaikkan kadar cukai tembakau selari komitmen kerajaan terhadap kesihatan awam dan pembaharuan hasil negara.

Ketika ini, cukai tembakau di Malaysia mewakili 58.6 peratus daripada harga runcit dan tiada prosedur tetap bagi pelarasan atau penilaian berkala dilaksanakan.

Iklan

Sebagai rekod, kali terakhir kadar cukai tersebut dinaikkan adalah pada September 2014.

Dalam pada itu Sharifa Ezat berpendapat, penguatkuasaan lain perlu dilaksanakan seiring pendidikan kesihatan berterusan dengan memberi perhatian kepada golongan kanak-kanak serta belia agar tidak cuba merokok atau guna rokok elektronik.

“Ada cadangan menaikkan (kadar cukai) ke 60 peratus hingga 75 peratus daripada harga jualan rokok pasaran.

“Ini bukan hanya menambah pendapatan negara tetapi mengekang pembelian kerana ia semakin mahal,” ujarnya.