PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sudah bikin satu dunia kacau bilau dengan tindakan mengenakan tarif kepada negara-negara lain.
Malah, ramai pengkritik melihat tindakan tersebut sebagai bentuk ‘buli ekonomi’ atau coercive diplomacy iaitu menggunakan kekuatan ekonomi untuk memaksa negara lain tunduk kepada kehendak AS.
Trump memulakan perang tarif dengan China pada 2018, dengan mengenakan tarif sehingga 25 peratus terhadap ratusan bilion dolar barangan import China. Matlamat Trump ialah menekan China supaya mengubah dasar perdagangan, melindungi harta intelek AS dan mengurangkan defisit dagangan.
Bagaimanapun, China membalas dengan tarif terhadap produk AS, mencetuskan perang perdagangan global.
Trump juga mengenakan tekanan kepada Kesatuan Eropah (EU) menerusi tarif ke atas keluli (25 peratus) dan aluminium (10 peratus) dari EU, Kanada serta Mexico dengan alasan keselamatan negara. EU pula membalas dengan tarif terhadap produk AS seperti motosikal Harley-Davidson dan bourbon.
Presiden AS itu juga mengugut mengenakan tarif terhadap Jepun, Korea Selatan, bahkan Kanada jika tidak meminda perjanjian perdagangan yang dianggap tidak menguntungkan AS.
Beliau menggunakan tarif sebagai ‘alat tawar-menawar’ dalam rundingan dan ia merupakan taktik America First yang mementingkan kepentingan domestik tanpa menghiraukan peraturan perdagangan antarabangsa.
Tindakan Trump itu dianggap sebagai ‘diplomasi paksaan’ (coercive diplomacy) atau economic bullying kerana menggunakan kekuatan ekonomi untuk memaksa perubahan, bukannya melalui rundingan seimbang.
Namun, penyokong Trump melihatnya sebagai strategi mempertahankan kepentingan nasional dan pekerjaan rakyat Amerika.
Pemimpin AS itu meneruskan agendanya selepas dilantik sebagai Presiden buat kali kedua dan nampaknya banyak negara terpaksa tunduk dengan beliau.
Namun, bagi negara yang ada kekuatan ekonomi tersendiri, mereka ada keupayaan untuk membalas balik perbuatan Trump. Tetapi bagi negara kecil seperti Malaysia dan bergantung kepada AS sebagai rakan dagang terbesar, kita tidak ada banyak pilihan.
Malaysia berjaya dapat pengurangan tarif dari 25 peratus kepada cuma 19 peratus. Ini kerana kita berjaya buktikan Malaysia, perdagangan dengan AS seimbang menerusi pembelian pesawat Boeing dalam dua fasa perjanjian yang dianggarkan bernilai hampir AS$19 bilion.
Namun, kelegaan kita dengan penurunan tarif itu tidak kekal lama. Trump buat pengumuman baharu akan mengenakan tarif 100 peratus bagi produk semikonduktor.
Industri semikonduktor di Malaysia, antara pemacu utama ekonomi negara dan menjadi salah satu tunjang kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E). Ia merupakan sektor eksport terbesar negara.
Sumbangan kepada ekonomi ialah kira-kira 38 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pembuatan dan lebih 35 peratus nilai eksport negara.
Sektor itu menyediakan ratusan ribu peluang pekerjaan termasuk jurutera, teknikal dan pekerja separa mahir. Inilah cabaran besar yang perlu dilalui oleh negara pada masa ini.
Bagi sudut pandang Trump, apa yang dilakukan adalah untuk negara dan rakyat AS. Memang itulah tugas dan tanggungjawab beliau. Tetapi Trump bertindak kejam dan tidak adil kepada negara lain dengan melakukan paksaan serta tekanan ekonomi seperti itu.
Kita harap dan berdoa agar apa yang Trump cuba lakukan itu tidak akan berjaya, dan akan beri kesan negatif juga kepada ekonomi AS.
Mungkin rakyat Amerika akan dapat banyak peluang kerja tetapi dengan peningkatan kos operasi apabila banyak syarikat terpaksa kembali ke negara itu akan menyebabkan harga barang juga meningkat.
Atau mungkin ada kuasa-kuasa besar lain bangkit dan tunjuk siapa sebenarnya lebih kuat dari AS. Sementara kita yang kecil dan kerdil ini boleh membaca Qunut Nazilah untuk pemimpin negara Uncle Sam itu.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian