TAHUN lepas saya melakukan satu kecuaian yang hampir meragut nyawa anak saudara sendiri.
Kejadian berlaku ketika saya membawa ibu dan ayah ke Kota Bharu, Kelantan untuk menziarahi adik yang menetap di sana bersama suami serta seorang anak perempuan berusia enam tahun.
Kami sekeluarga pergi ke sebuah pasar raya dan saya menurunkan mereka di hadapan pintu masuk sebelum beredar mencari tempat parkir.
Memandangkan cuaca panas terik, saya menurunkan sedikit tingkap pintu kereta bahagian depan sebelum keluar dan duduk di kerusi berdekatan pintu masul pasar raya sambil melayari media sosial.
Hampir dua jam dan mula rasa bosan, saya masuk ke dalam pasar raya mencari ibu dan ayah yang sedang membeli barang dapur ditemani adik.
Ibu bertanya kepada saya: “Mana Isya (nama panggilan anak saudara)?”
Berderau darah bila ibu kata Isya tidur dalam kereta kerana sudah menjadi perangainya tidak suka ikut membeli-belah.
Tanpa berfikir panjang, saya segera berlari menuju ke kereta sambil mulut tidak berputus doa dengan perasaan betul-betul takut berlaku perkara tidak diingini.
Sebaik buka pintu kereta, anak saudara saya itu sudah duduk di bahagian tempat duduk hadapan dengan badan bermandi peluh dan muka kemerahan.
Allahuakbar! Detik yang tidak mungkin saya lupakan. Peristiwa ini menjadi kenangan pahit tetapi memberi pengajaran betapa mudahnya kita sebagai manusia boleh lalai, walaupun melibatkan nyawa keluarga sendiri.
Minggu lepas, tragedi serupa berlaku apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai ditinggalkan dalam kereta ibunya selama sembilan jam.
Kes sebegini bukan fenomena terpencil kerana telah dilaporkan berkali-kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Di negara lain, kejadian sedemikian menjadi isu keselamatan yang meluas dan analisis menunjukkan ramai ibu bapa terlupa anak mereka berada dalam kenderaan disebabkan rutin harian berubah atau tekanan kerja dan hidup.
Sebagai individu yang pernah berada dalam situasi sama, saya mengesan punca kecuaian ialah tidak mengamalkan sikap atau tabiat toleh tempat duduk belakang sebelum keluar kereta.
Bukan mudah untuk jadikan ia satu tabiat tetapi sejak kejadian tersebut, saya memang akan paksa diri toleh ke belakang dan jenguk kepala sekali lagi ketika hendak tutup pintu kereta.
Boleh juga menggunakan bantuan alat teknologi yang mempunyai sensor amaran atau isyarat peringatan supaya pemandu tidak terlupa dan meninggalkan barangan penting termasuk anak kecil.
Kebiasaan hanya kereta mewah yang mempunyai teknologi itu sama ada dalam bentuk suara atau tanda amaran bernyala di meter bertulis ‘periksa tempat duduk belakang’.
Pada masa sekarang, semua kenderaan baharu termasuk kereta keluaran tempat sudah dilengkapi sensor amaran pemakaian tali pinggang keledar sebaik menekan minyak untuk memulakan pemanduan.
Maka, adalah wajar sensor atau teknologi yang lebih kurang sama seperti itu disediakan bagi mengingatkan pemandu supaya tidak meninggalkan apa jua barang berharga termasuk anak kecil dalam kereta.
Kita hanya manusia biasa yang sentiasa diuji dengan kelalaian dan kealpaan.
Lebih-lebih lagi rutin harian semakin padat dan memenatkan terutama menguruskan anak kecil yang sering terjaga tanpa mengira masa.
Kurang tidur atau tidak lena tidur menyebabkan fikiran kita terganggu dan mudah terleka walaupun mengambil serta menghantar anak ke rumah pengasuh adalah rutin harian.
Justeru, tidak salah memaksa diri sendiri membina tabiat toleh ke tempat duduk belakang sebelum keluar kereta. Mungkin suatu hari nanti, ia menjadi tolehan paling berharga.
*Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian