Martabatkan jururawat tempatan, jangan buka jalan pintas ambil tenaga asing

Iklan
Daripada membuka pintu kepada pengambilan besar-besaran jururawat asing, lebih baik kerajaan meneliti insentif baharu untuk menarik dan mengekalkan jururawat tempatan. Gambar hiasan

CADANGAN membawa masuk jururawat dari Indonesia bagi mengisi kekosongan tenaga kerja kesihatan di Malaysia membuka lembaran baharu perbincangan tentang hala tuju sektor itu.

Hasrat yang digerakkan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru itu dilihat sebagai usaha saling menguntungkan.

Iklan
Iklan

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto berkata, langkah itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja kesihatan di Malaysia.

Beliau berpendapat, langkah tersebut mampu memberi manfaat bersama memandangkan ramai pesakit dari Indonesia mendapatkan rawatan di hospital di Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Iklan

Namun, bagi banyak pihak, ia berisiko menenggelamkan potensi jururawat tempatan yang selama ini menjadi tunjang dan benteng utama sistem kesihatan negara.

Kesatuan Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menjadi antara suara lantang membantah cadangan tersebut, sambil menegaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada tenaga kerja tempatan terlebih dahulu.

Iklan

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, cadangan itu tidak wajar kerana masih ramai graduan jururawat tempatan yang telah tamat pengajian tetapi masih menunggu pelantikan.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Saaidah Athman turut menyarankan supaya kerajaan mengoptimumkan perkhidmatan jururawat tempatan sebelum mempertimbangkan cadangan mengambil jururawat asing, khususnya dari Indonesia.

Menurutnya, ketika ini masih ramai jururawat tempatan belum diserap ke dalam sektor kesihatan negara.

Kehebatan jururawat tempatan tidak boleh dipandang enteng. Mereka terbukti cekap mengurus pesakit dalam situasi kritikal, termasuk ketika krisis pandemik Covid-19, walaupun berdepan kekangan fasiliti dan kekurangan tenaga kerja.

Keupayaan mereka bertugas dalam pelbagai situasi kecemasan, memahami protokol kesihatan tempatan, serta keakraban dengan budaya setempat menjadikan khidmat mereka sukar ditandingi.

Ramai yang berkhidmat dengan penuh dedikasi walaupun berdepan nisbah pesakit kepada jururawat yang tinggi.

Daripada membuka pintu kepada pengambilan besar-besaran jururawat asing, lebih baik kerajaan meneliti insentif baharu untuk menarik dan mengekalkan jururawat tempatan.

Pendekatan jangka panjang yang lebih mampan perlu diambil, seperti memperkukuh insentif kerjaya, menyediakan peluang latihan dan kenaikan pangkat, memperbaiki nisbah pesakit-jururawat, serta memanfaatkan teknologi kesihatan untuk mengurangkan beban kerja.

Langkah ini bukan sahaja memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan terpelihara, malah mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan jururawat tempatan yang selama ini menjadi tulang belakang sistem kesihatan negara.

Cadangan membawa masuk jururawat asing mungkin kelihatan sebagai jalan pintas, namun realitinya ia tidak menyelesaikan punca masalah.

Malaysia perlu terlebih dahulu memartabatkan profesion jururawat tempatan sebagai kerjaya yang berprestij, berbaloi dan dihormati, agar mereka terus setia berkhidmat untuk rakyat dan negara.