Gali semula kubur Zara Qairina: Peguam harap AGC fail permohonan ke Majistret esok

Iklan
Zara Qairina. (Gambar kecil: Hamid Ismail)

KOTA KINABALU - Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan kepada Majistret terlebih dahulu sebelum arahan menggali semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dilaksanakan.

Perkara itu dijelaskan peguam, Hamid Ismail yang mewakili Noraidah Lamat, 45, selepas pihaknya memohon menerusi surat yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, pada 5 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

"Tunggu permohonan AGC. Mereka akan fail permohonan di Majistret," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan terbaharu AGC kepada pihak berkuasa untuk menggali semula kubur Zara Qairina.

Iklan

Ditanya lanjut berapa lama proses untuk melaksanakan arahan tersebut, beliau berharap ia dapat dijalankan segera.

"Harap-harap esoklah," katanya.

Iklan

Dalam kenyataan AGC pada Jumaat memaklumkan bahawa tindakan itu adalah antara beberapa arahan dikeluarkan bagi memastikan siasatan menyeluruh dilakukan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Hamid sebelum ini memaklumkan, antara perkara yang dimohon dalam surat kepada Peguam Negara itu adalah bagi membolehkan bedah siasat dilakukan untuk menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.

Selain itu, permohonan lain yang turut dibuat ialah pihaknya meminta penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara Qairina serta mengembalikan semula laporan kertas siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setakat ini, laporan kertas siasatan sudah pun diserahkan semula oleh AGC kepada PDRM pada Khamis.

Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Kes itu menarik perhatian ramai, khususnya di media sosial, selepas dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.